Bukan bergaduh, Salahuddin jawab Tun Daim

Salahuddin
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan berlaku pergaduhan sesama sendiri dalam kalangan jemaah menteri tidak benar.

Sebaliknya, Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku hanyalah salah faham dalam beberapa perkara.

Menurutnya, menteri Kabinet terikat dengan etika di mana sebarang keputusan yang dibuat dalam mesyuarat akan dipersetujui.

"Kalau kami berbeza pandangan setelah Kabinet buat keputusan, kami patuh kepada keputusan yang telah dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Menteri henti gaduh sesama sendiri, rakyat dah muak'

"Saya ada kebimbangan tentang tajuk berita yang dimanipulasi. Mungkin kenyataan bergaduh itu membawa maksud salah faham," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau berkata meskipun difahami bahawa kesemua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, jemaah menteri terbuka menerima teguran daripada mana-mana pihak bagi tujuan penambahbaikan.

"Ini kerana kita bukan berada dalam sindrom penafian," katanya.