Bekas Pengerusi SKMM Halim Shafie sertai Axiata

Halim Shafie
Halim Shafie
A
A
A

AXIATA Group Bhd mengumumkan pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Dr Halim Shafie sebagai Pengarah Bebas berkuat kuasa 1 November.

Syarikat itu juga telah menamakan Syed Ali Syed Salem Alsagoff, penama Permodalan Nasional Bhd dalam Lembaga Pengarah Axiata, sebagai Pengarah Bukan Bebas berkuat kuasa pada hari yang sama.

Halim, 71, merupakan Pengerusi SKMM sejak 2006 hingga 2009 sebelum memegang jawatan Pengerusi Telekom Malaysia dari 2009 hingga 2015.

Beliau kini merupakan Pengerusi MSD Innovation Sdn Bhd, sebuah syarikat pemula niaga yang mengaplikasikan Internet Pelbagai Perkara (IoT) dalam sektor pertanian, selain berkhidmat sebagai profesor adjung di Universiti Utara Malaysia.

Sementara itu, Syed Ali, 45, adalah sebahagian daripada pasukan pemulihan Bumi Armada Bhd antara 2006 dan 2009.

Beliau bertanggungjawab ke atas pelaburan berkaitan minyak dan gas di Ekuiti Nasional Bhd pada 2010-2011.

Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata, Halim dan Syed Ali adalah dua profesional yang mampu meningkatkan keupayaan lembaga pengarah Axiata dan membawa wawasan baharu yang diperlukan bagi mencartakan pertumbuhan peringkat seterusnya kumpulan.

“Dr Halim merupakan veteran industri yang dihormati, walaupun bersara tetapi terus berada di barisan hadapan hari ini melalui penglibatannya dalam ekosistem pemula niaga teknologi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Beliau yang telah menyaksikan sendiri evolusi industri telekomunikasi mudah alih tempatan sejak hari pertama dalam dua penggal beliau sebagai Pengerusi SKMM, dan kini mengemudi projek IoT pertanian masa kini, berada di kedudukan yang terbaik bagi memajukan Axiata,” katanya.

Ghazzali berkata, Syed Ali mempunyai latar belakang yang mantap dalam pelaburan mahupun sebagai peneraju pengembangan serantau serta memacu kecemerlangan operasi dalam industri minyak dan gas yang mencabar. - Bernama