Penduduk dakwa letupan sebabkan dinding rumah retak

Abd Rahim (tiga dari kiri) berbincang dan meneliti laporan yang diterima daripada penduduk sambil disaksikan Mohamad Noor (kiri) dan Teck Loon (kanan).
Abd Rahim (tiga dari kiri) berbincang dan meneliti laporan yang diterima daripada penduduk sambil disaksikan Mohamad Noor (kiri) dan Teck Loon (kanan).
A
A
A

KUANTAN - Penduduk di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya di Gambang di sini mendakwa rumah didiami mereka mengalami keretakan serius akibat letupan ketika kerja-kerja meratakan tanah bukit oleh syarikat pemaju perumahan pada September lalu.

Pengerusi taman perumahan itu, Ahmad Farzee Kamarudin, 57, mendakwa, gegaran kuat akibat letupan itu membimbangkan penduduk kerana jarak lokasi berbukit tersebut dianggarkan hanya 100 meter dari kawasan perumahan mereka.

"Rumah yang kami duduki sejak empat tahun lalu sudah mula retak. Setakat ini hanya tujuh penduduk yang tampil suarakan masalah ini selepas gegaran kuat pada 24 September lalu.

"Keretakan boleh dilihat dengan jelas di dinding ruang tamu, bilik tidur, dapur dan bilik air. Bila rumah retak begini, kita susah hati," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini hari ini.

Keretakan dinding rumah penduduk di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang didakwa disebabkan oleh letupan kuat pada 24 September lalu.
Keretakan dinding rumah penduduk di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang didakwa disebabkan oleh letupan kuat pada 24 September lalu.

Menurutnya, satu laporan polis juga dibuat bagi memastikan kerja-kerja itu dihentikan pemaju perumahan bagi mengelakkan keretakan lebih teruk berlaku.

"Walaupun perkara ini sudah dimaklumkan kepada syarikat pemaju tapi laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

"Menerusi laporan itu juga penduduk yang terlibat boleh membuat permohonan daripada agensi berkaitan supaya memeriksa struktur rumah mereka sama ada selamat diduduki atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu pemeriksaan struktur rumah yang retak dinilai pakar (agensi berkaitan) sebelum pihak pemaju melakukan kerja membaik semula rumah ini," katanya.

Terdahulu, penduduk perumahan itu menerima kunjungan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali; Pengarah Syarikat Perumahan Dinamik Budimas Sdn Bhd, Datuk Fong Teck Loon dan wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, kerajaan negeri akan mengkaji struktur bangunan rumah yang dilaporkan retak akibat kerja-kerja meratakan tanah berhampiran kawasan taman perumahan itu.

Ahmad Farzee menunjukkan keretakan yang berlaku di dalam bilik rumahnya di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang hari ini.
Ahmad Farzee menunjukkan keretakan yang berlaku di dalam bilik rumahnya di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang hari ini.

"Saya meminta pihak berkaitan merujuk perkara terbabit kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat meneliti struktur bangunan rumah yang retak agar tidak membahayakan penghuninya.

"Setakat ini, kita menerima laporan daripada tujuh pemilik rumah. Lokasi berbukit yang diratakan itu membabitkan pembinaan perumahan PR1MA fasa kedua," katanya.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri mengarahkan kerja-kerja letupan dihentikan serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

"Pemaju juga memaklumkan mereka akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas menerima laporan berhubung struktur binaan rumah di kawasan ini," katanya.