Cara rakyat AS pilih Presiden

Sejumlah pengundi awal mengundi di sebuah pusat pengundian di New York pada 24 Oktober lalu. - AFP
Sejumlah pengundi awal mengundi di sebuah pusat pengundian di New York pada 24 Oktober lalu. - AFP
A
A
A

PADA 3 November ini, para pengundi Amerika Syarikat (AS) akan keluar mengundi bagi menentukan sama ada Presiden negara itu, Donald Trump atau pencabarnya, Joe Biden memperoleh jumlah undi paling banyak dalam pilihan raya Presiden AS.

Ia juga dikenali sebagai undi popular di AS.

Bagaimanapun, jumlah undi yang paling banyak diperoleh dalam pilihan raya yang diadakan setiap empat tahun sekali itu bukan penentu seseorang calon telah memenangi jawatan Presiden AS.

Sebaliknya, calon jawatan itu akan ditentukan oleh seberapa banyak undi elektoral yang akan dimenanginya.

Sebanyak 538 diperuntukkan untuk undi elektoral di negara itu.

Dalam pilihan raya itu, seramai 538 orang akan dipilih untuk menjadi anggota Electoral College atau Lembaga Pemilihan.

Pada kebiasaannya, mereka diberikan kepercayaan untuk mengundi calon Presiden AS yang memenangi undi paling banyak di sesebuah negeri.

Menurut agensi berita AFP, bilangan penduduk di sesebuah negeri di AS akan menentukan berapa bilangan undi elektoral yang diperlukan dalam Lembaga Pemilihan itu.

Artikel Berkaitan:

Negeri California yang mempunyai bilangan penduduk yang paling ramai di negara itu akan mempunyai bilangan pengundi elektoral seramai 55 orang manakala Texas pula ialah 38 orang dan New York serta Florida masing-masing 29 orang.

Negeri yang kurang penduduk iaitu Alaska, Delware, Vermont dan Wyoming pula masing-masing mempunyai jumlah minimum tiga pengundi elektoral dalam Lembaga Pemilihan itu.

Trump (kiri) dan Biden akan bertanding pada pilihan raya Presiden AS pada 3 November ini. - AFP
Trump (kiri) dan Biden akan bertanding pada pilihan raya Presiden AS pada 3 November ini. - AFP

Seseorang calon memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi jawatan Presiden AS.

Pada kebiasaannya, keputusan undi elektoral itu boleh diketahui secara tidak rasmi selepas undi popular sesebuah negeri diketahui.

Kubu kuat

Pada pilihan raya Presiden AS pada tahun 2016, bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang mewakili Parti Demokrat memenangi undi popular sebanyak 65,844,610 undi menewaskan Trump yang memperoleh 62,979,636 undi.

Bagaimanapun, Trump memenangi undi elektoral iaitu sebanyak 304 undi berbanding Clinton yang memperoleh sebanyak 227 undi elektoral.

Ia adalah disebabkan Trump memenangi undi terbanyak di kubu kuat parti Demokrat iaitu Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin sekali gus beliau memperoleh undi elektoral di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Namun, Nebraska dan Maine menggunakan satu sistem yang berbeza iaitu ia akan memberikan dua undi elektoral kepada setiap pemenang undi terbanyak bagi negeri-negeri tersebut.

Satu lagi undi elektoral pula akan diberikan kepada calon Presiden AS yang memenangi undi terbanyak bagi dua daerah di Maine dan tiga daerah di Nebraska.

Penggunaan undi elektoral itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara tersebut.

Pengundi yang mewakili 50 buah negeri dan Daerah Columbia (D.C) iaitu daerah pentadbiran yang menempatkan Washington D.C dalam Lembaga Pemilihan itu pada kebiasaannya dipilih oleh konvensyen parti di negeri-negeri.

Ahli-ahli Lembaga Pemilihan tersebut hanya akan mengundi mengikut keputusan yang sudah diperoleh dalam undi popular tersebut pada bulan Disember nanti.

Justeru, sistem undi elektoral itu digunakan kerana undian popular bagi memilih Presiden AS dianggap tidak praktikal diadakan semasa Perlembagaan AS dirangka pada tahun 1787 sebelum dikuatkuasakan setahun kemudian.

Ia digunakan kerana saiz negara itu yang besar dan AS mengalami masalah komunikasi. Sehubungan itu, sistem undi elektoral diperkenalkan bagi mengatasi masalah tersebut.


Seorang penyokong Trump melambaikan tangan ke arah kereta yang melalui sebatang jalan raya di Clearwater, Florida baru-baru ini. - AFP
Seorang penyokong Trump melambaikan tangan ke arah kereta yang melalui sebatang jalan raya di Clearwater, Florida baru-baru ini. - AFP

Ia menjadi amat sukar bagi calon selain daripada parti Demokrat dan Republikan untuk memenangi jawatan Presiden AS walaupun terdapat ramai calon yang bertanding bagi merebut jawatan itu.

Setakat 26 Oktober lalu, seramai 66 juta pengundi berdaftar telah keluar mengundi awal dalam pilihan raya Presiden negara itu yang diadakan untuk kali ke-59 berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih melanda AS.

Jika Biden yang berumur 77 tahun daripada parti Demokrat memenangi pilihan raya kali ini, beliau akan menjadi Presiden AS yang paling tua dalam sejarah negara itu.

Sebelum ini, Trump memegang rekod Presiden paling tua apabila memegang jawatan itu ketika berusia 70 tahun.

Pada tahun ini, terdapat lebih 128 juta pengundi berdaftar termasuk pengundi awal akan memilih Presiden AS yang mewakili lebih 50 peratus penduduk di negara berkenaan.

Pada pilihan raya kali ini, Biden kemungkinan akan menepati ramalan banyak pihak di AS akan menjadi Presiden AS berdasarkan kepada tinjauan-tinjauan pendapat kebangsaan.

Namun, sejarah pada tahun 2016 juga kemungkinan akan berulang kembali apabila Trump yang kalah undi popular tetapi memenangi undi elektoral sekali gus menduduki jawatan Presiden AS.