X

Kindly register in order to view this article
!

Khabar gembira Belanjawan 2021

A
A

Cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Belanjawan 2021 terkandung moratorium yang disambung patut diberi perhatian. Apatah lagi, pandemik koronavirus (Covid-19) masih belum reda, bahkan bertambah-tambah.

Rakyat jelata agak gelisah. Risau hutang yang tidak boleh dibayar menyebabkan bertambah riba atau faedah yang perlu ditanggung. Pinjaman yang dahulu mungkin sedikit, dicampur dengan riba atau faedah akan menjadi lebih banyak daripada amaun asal yang dipinjam.

Risiko kehilangan kerja, syarikat tutup dan gaji kena potong sedang berlaku ketika ini. Ramai rakyat yang menderita terpaksa pulang ke kampung dan menumpang rumah orang tua.

Baru-baru ini ada program khas daripada Sinar Harian mengenai anak-anak muda muflis disebabkan pinjaman lima serangkai iaitu pinjaman peribadi, pendidikan, kereta, rumah dan kad kredit.

Menurut program tersebut, pada tahun 2015 sehingga 2019, seramai 85,000 orang anak muda berumur 25 tahun ke bawah dimufliskan. Saya tertanya-tanya, bagaimana muda-muda sudah muflis?

Pada masa yang sama, senang pula mendapat pinjaman. Kalau mengikut kata kawan saya, hendak membuat pinjaman pun agak susah, apatah lagi musim pandemik sekarang. Mungkin riba atau faedah rendah tetapi syarat untuk lulus pinjaman agak ketat.

Tahun ini dan seterusnya, mungkin akan bertambah angka muflis jika moratorium tidak disambung. Macam mana hendak bayar kalau tiada kerja dan gaji kena potong? Bank biasanya bukan ambil peduli.

Ada orang buat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 sahaja tetapi apabila dicampur dengan riba atau faedah dan keuntungan, tidak kiralah pinjaman konvensional atau Islamik, sampai masa kalau tidak bayar, dapatlah suratnya.

Menariknya, ada orang dimufliskan disebabkan bertambah faedah atau riba tertangguh. Daripada RM20,000 pinjaman asal menjadi RM40,000, maka diisytiharkan muflis disebabkan pertambahan RM20,000 lagi oleh riba atau faedah tersebut.

Kini akta kebankrapan had muflis dinaikkan kepada RM50,000 tetapi akan muflis juga disebabkan tunggakan faedah atau riba yang boleh sahaja mencecah sebanyak RM50,000 jika tertangguh bayarannya.

Seperti yang dirasai rakyat sekarang, saya pernah merasai kehilangan kerja dan syarikat ditutup. Tidak dapat membayar pinjaman kereta dan kemudiannya ditarik, tidak dapat bayar sewa rumah, dihalau. Terpaksalah balik ke kampung menumpang di rumah ibu tercinta.

Diharap ada perkhabaran berita yang baik daripada kerajaan untuk Belanjawan 2021. Mungkin ada moratorium, begitulah harapannya.

Bak kata pepatah, kalau tiada rotan, akar pun berguna. Mungkin sebelum ada yang lebih baik, ada yang baik sikit-sikit seperti moratorium pun maka rakyat sudah bersyukur kepada ALLAH SWT.

Cadangan seterusnya daripada Najib, mungkin pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat memberi kebenaran pengeluaran one off sebanyak RM10,000 kepada rakyat daripada akaun pertama untuk kelangsungan hidup.

Saya rasa ramai rakyat yang bersorak gembira jika ia termakbul. Kita tidak tahu umur kita panjang atau pendek, sempat merasa atau tidak duit KWSP. Wang sebanyak RM10,000 itu bolehlah digunakan untuk rakyat menyara diri pada saat-saat getir.

Saya ada juga beritahu isteri, kalau dapat keluarkan RM10,000 nanti, apa rancangan kita? Isteri saya membeliakkan mata sambil berfikir.

Saya juga terbeliak sambil mengetuk-ngetuk dagu dengan pen, berfikir. Risau duit RM10,000 hilang begitu sahaja. Tidak tahu ke mana dan apa yang dibelanjakan dengan duit tersebut terutama bagi mereka yang tidak memerlukan sangat kerana masih mempunyai kerja.

Saya beri cadangan kepada isteri: “Kita beli emas nak?” Maka, bersinar-sinarlahlah mata isteri saya sambil tersenyum lebar.

Emas boleh dikira sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan, cuma yang merisaukan saya, takut nanti ada kluster KWSP.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bercerita, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!