Bekas pesakit Covid-19 diminta tampil sertai kajian

Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pesakit kornavirus (Covid-19) yang sudah pulih diminta untuk tampil menyertai kajian dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan mengetahui status antibodi sama ada berkekalan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 275 individu yang dijangkiti dan sudah pulih daripada jangkitan diperlukan bagi memastikan KKM dapat melaksanakan kajian bermakna ataupun ditafsirkan dengan baik.

"Pada setiap tiga bulan, kita akan jalankan rawatan susulan kepada yang sudah pulih untuk melihat perkembangan terkini dan menggalakkan mereka menyertai kajian ini supaya kita dapat melihat kepada antibodi itu sama ia ada berkekalan atau tidak.

"Tetapi, setakat ini kita hanya ada 106 orang yang didaftarkan dalam kajian tersebut," katanya pada sidang media harian berkenaan perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, banyak persoalan mengenai virus itu memerlukan maklum balas dan kajian yang dilakukan akan memberikan jawapan terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebarang pilihan raya masih tidak sesuai diadakan sehingga pandemik Covid-19 di negara ini terkawal dan kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) berada di bawah 0.3.

"Jika pilihan raya terpaksa diadakan, KKM mencadangkan tiga perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu tiada rentas sempadan, tiada perhimpunan ramai dan tiada tinjauan mesra serta kempen dari rumah ke rumah.

"Pada masa ini, masih belum sesuai pilihan raya diadakan kerana RO masih belum mencapai sasaran iaitu (bawah) 0.3.

Artikel Berkaitan:

"KKM mengambil maklum jika pilihan raya perlu diadakan mengikut ketentuan undang-undang, kita cadangkan tiga prinsip tersebut untuk kurangkan kesan penularan wabak Covid-19," katanya.

Katanya, KKM masih berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya jika ia terpaksa diadakan.

Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO malam tadi meminta Pilihan Raya Umum segera diadakan selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di tahap minimum. - Bernama