Bukan semua kawasan Nilai terlibat PKPB

Arul Kumar (kanan) menunjukkan notis penutupan sebuah kuil di Nilai yang berada dalam kawasan PKPB
Arul Kumar (kanan) menunjukkan notis penutupan sebuah kuil di Nilai yang berada dalam kawasan PKPB
A
A
A

NILAI - Bukan semua kawasan Nilai terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 28 Oktober lalu hingga 10 November depan.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, timbul kekeliruan dalam kalangan warga Nilai berhubung perkara itu sedangkan hanya 35 lokaliti atau taman yang berada dalam kawasan Bandar Baru Nilai yang terlibat.

"Selepas pengumuman pelaksanaan PKPB di Nilai, saya dapati ramai yang keliru kerana ada kawasan di Nilai yang tidak termasuk dalam zon PKPB.

"Saya nak ingatkan sekali lagi kawasan yang tidak terlibat ialah Taman Semarak, Rumah Rakyat Nilai, Kg Baru Nilai, Taman Nilai, Nilai Perdana, Pekan Nilai, Nilai 3, Nilai Impian dan semua kawasan Perindustrian," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai,hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk Nilai yang tinggal di kawasan tidak terlibat dengan PKPB supaya mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu untuk masuk ke zon PKPB bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Menurutnya, hanya tiga buah kuil dan enam gereja dalam kawasan zon PKPB ditutup mulai Rabu lepas.

"Ia membabitkan tiga kuil di Desa Jasmin, Desa Cempaka dan Desa Melati serta enam gereja yang beroperasi di rumah kedai di sekitar Bandar Baru Nilai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 35 lokaliti di Zon Nilai terlibat PKPB

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 35 lokaliti atau taman di Zon Nilai terlibat PKPB manakala sebahagian tiga jalan di Putra Point, Nilai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 28 Oktober lalu.

Kawasan terlibat dengan PKPD membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.