Inspektor, sarjan direman disyaki rasuah

Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan berhubung rasuah untuk menutup kes kesalahan jenayah pecah rumah.
Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan berhubung rasuah untuk menutup kes kesalahan jenayah pecah rumah.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua individu dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung rasuah dipercayai untuk menutup kes melibatkan jenayah pecah rumah seorang lelaki.

Pegawai berpangkat inspektor direman empat hari bermula hari ini sehingga 2 November manakala anggota berpangkat sarjan direman dua hari bermula hari ini hingga esok (31 Oktober).

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, Muhammad Zul Hilmi Latif dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Menurut sumber, seorang individu meminta bantuan daripada seorang lelaki untuk mengesahkan sama ada dirinya sedang disiasat di bawah kesalahan jenayah pecah rumah sekitar bulan ini.

Lelaki berkenaan kemudian memaklumkan bahawa kes boleh ditutup jika dia membayar RM5,000 kepada seorang pegawai penguat kuasa melalui dirinya.

Kata sumber, suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun kemudian ditahan di sebuah restoran di Juru Auto City, Pulau Pinang lebih kurang jam 5.25 petang pada 28 Oktober lalu dan penahanan itu membawa kepada tangkapan suspek kedua yang berpangkat sarjan berusia 51 tahun di hadapan sebuah restoran di Kulim kira-kira jam 3.30 petang dan seorang inspektor kemudian ditahan di pejabatnya kira-kira jam 5.25 petang, semalam.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan mengenai penahanan terhadap ketiga-tiga individu tersebut berhubung siasatan kes rasuah.

Kata beliau, bagaimanapun dua individu iaitu inspektor dan sarjan berkenaan dibawa ke mahkamah Alor Setar untuk permohonan reman, manakala suspek pertama dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel Berkaitan: