34 pekerja syarikat bina perisian judi online diberkas

Antara individu yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
Antara individu yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
A
A
A

PETALING - [DIKEMASKINI] Seramai 34 pekerja syarikat komputer ditahan kerana disyaki terlibat sindiket membina dan menyelenggara perisian perjudian dalam talian, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 25 lelaki dan sembilan wanita berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah premis, di sini.

"Siasatan mendapati mereka mempunyai kelayakan pendidikan dari universiti dan kolej tempatan dalam bidang yang berkait dengan perisian komputer," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Azanee berkata, pemeriksaan mendapati pelbagai peralatan digunakan untuk mempromosi dan menerima pertaruhan perjudian dalam talian.

"Kita merampas 38 komputer riba, 33 monitor, 15 telefon bimbit, empat tablet, satu dekoder kamera litar tertutup dan empat modem," katanya.

Beliau berkata, premis yang berselindung di sebalik syarikat komputer itu telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.

"Mereka telah membina 500 aplikasi perjudian dalam talian dan menjualnya kepada syarikat perjudian yang beroperasi di luar negara," katanya.

Beliau berkata, pekerja itu dibayar gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM 10,000 bergantung kepada tahap kemahiran masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mensasarkan pelanggan dari Thailand," kata beliau lagi.

Tambah Nik Ezanee, kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Mereka semua ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman manakala seorang lagi wanita akan ditangkap selepas menjalani kuarantin koronavirus (Covid-19)," kata beliau.

Pada 2 Oktober lalu, sepasukan anggota polis dari cawangan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Daerah Petaling Jaya menahan 26 lelaki dan 11 wanita disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah premis perniagaan di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee memaklumkan seramai 84 individu telah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 pada tahun ini kerana terbabit aktiviti perjudian dalam talian.