Kompaun RM1,000 biak denggi

Mohamad Yasid (duduk, tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, hari ini.
Mohamad Yasid (duduk, tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, hari ini.
A
A
A

KLANG - Pemilik yang didapati bersalah membiarkan kediaman dan premis perniagaan mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes akan dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat berikutan Klang menjadi daerah kedua tertinggi kes denggi di Selangor.

“Sebelum ini kita hanya beri amaran dan tahun lalu, hanya dua kes sahaja dikenakan kompaun. Namun kali ini kita perlu mengambil tindakan tegas bagi membendung penularan wabak denggi di daerah ini.

“Tiada lagi amaran selepas ini sebaliknya mereka yang ingkar akan terus dikenakan kompaun maksima RM1,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 1,575 kes denggi direkodkan di daerah ini pada minggu ketiga berbanding 1,300 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Sebanyak 28 hotspot denggi dilaporkan di daerah ini antaranya Kota Pendamar (28 kes), Jalan Perigi Nenas (19 kes), Apartmen Idaman Setia (13 kes), Jalan Datuk Dagang (17 kes) dan Jalan Datuk Anuar, Teluk Pulai (14 kes).

“Kita akan menjalankan operasi bersepadu di kawasan terbabit selepas Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Mohamad Yasid, pihaknya terpaksa menanggung kerugian apabila 280 keping besi penutup longkang dikebas pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Kita menerima 87 aduan berkaitan kes vandalisme pada tahun lalu di mana sebanyak 280 besi penutup longkang hilang dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Antara kawasan terlibat adalah di Bukit Tinggi, Taman Gembira dan Pusat Bandar Klang. Jadi kita terpaksa ganti dengan menggunakan konkrit yang mana setiap satu menelan kos RM250,” katanya.