Saarani nafi dapat sokongan jadi MB Perak

UMNO Perak menafikan laporan sebuah portal hari ini. Gambar kiri: Saarani
UMNO Perak menafikan laporan sebuah portal hari ini. Gambar kiri: Saarani
A
A
A

IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa beliau menerima cukup sokongan untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, sokongan yang kononnya diperoleh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu tidak pernah berlaku sama sekali.

"Saya sebenarnya tidak ada komen khusus berkaitan perkara itu kerana laporan terbabit sama sekali tidak benar, tidak ada sesiapapun yang jumpa saya, menawarkan diri atau menghasut saya.

"Kalau betul ada, saya akan cakap ada, kalau tidak maka tidaklah, tak perlu pening-pening," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata, isu sokongan dan kedudukan sebagai Menteri Besar tidak pernah dijadikan tajuk perbincangan dalam parti itu apatah lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah menerima baik titah Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perhatian kepada usaha membasmi wabak koronavirus (Covid-19) dan mengurangkan politik.

"Jika berlaku pertukaran juga, itu bukan kerja kita, saya tak terlibat dengan perkara itu, saya tegaskan bahawa di Perak kita akur dan beri perhatian kepada usaha membangunkan negeri," katanya.

Sebuah portal tempatan hari ini mendakwa Perak bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar dalam tempoh terdekat sekiranya hubungan kurang baik Ahmad Faizal dengan Pengerusi UMNO Perak tidak dapat dipulihkan.

Laporan yang memetik sumber dalaman UMNO itu menyatakan bahawa Saarani telah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi Pas yang mempunyai tiga kerusi dan juga empat wakil rakyat PKR dan DAP.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak itu berkata, dakwaan dan khabar angin sedemikian sama sekali tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

"Saya dalam Mesyuarat Exco duduk sebelah kanan Menteri Besar, saya tengok dia dan dia tengok saya, tak ada masalah apa pun.

"Setiap kali mesyuarat berlangsung, kita memberi perhatian kepada usaha kerajaan negeri dan jika ada perkara tidak puas hati dalam politik, ia dibincang dalam platform politik," katanya.