PKPD: Peniaga kawasan berhampiran terjejas

Aktiviti perniagaan di lokasi berhampiran PKPD di Nilai kelihatan lengang.
Aktiviti perniagaan di lokasi berhampiran PKPD di Nilai kelihatan lengang.
A
A
A

NILAI - Meskipun hanya tiga jalan di Putra Point di sini yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun aktiviti perniagaan di kawasan berhampiran turut terjejas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan premis perniagaan tidak jauh dari situ suram tanpa pelanggan dan ada juga yang memilih untuk tidak beroperasi.

Pekerja kedai runcit, Zuhairah Husna Zazali, 24, berkata, sejak pagi semalam hanya tiga orang pelanggan yang datang ke kedainya dan itu pun mereka masih bimbang berikutan lokasi kedai yang berhampiran dengan lokasi terlibat PKPD.

"Biasanya jika waktu pagi ramai datang beli barang mentah di sini. Tapi nampaknya orang ramai takut nak datang dan mungkin juga ada beranggapan kedai kami juga terlibat dengan PKPD.

"Tak tahulah 'sale' macam mana sepanjang tempoh PKPD ini. Tapi hari pertama ini memang teruk," katanya.

Zuhairah menanti pelanggan datang ke kedai tempatnya bekerja
Zuhairah menanti pelanggan datang ke kedai tempatnya bekerja

Menurutnya, sebagai alternatif majikannya menawarkan perkhidmatan penghantaran barang terus ke rumah pelanggan yang boleh membuat pembelian secara dalam talian.

Katanya, jika hari biasa kedainya beroperasi pada jam 8 pagi sehingga jam 8 malam, tetapi sepanjang tempoh PKPD ini waktu operasi diubah kepada jam 8.30 pagi sehingga jam 6.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penyelia sebuah restoran, Aslinda Yuhanais, 24, berkata, dalam tempoh dua minggu PKPD ini, operasi perniagaannya terpaksa bergantung kepada perkhidmatan penghantaran makanan.

Menurutnya, sejak awal bulan ini lagi kehadiran pelanggan ke restorannya terjejas selepas terdapat kes positif koronavirus (Covid-19) di kawasan Nilai.

"Kami tetap beroperasi, tapi pelanggan takut nak datang kerana lokasi restoran kami yang berhampiran dengan lokasi PKPD dan apa yang saya boleh katakan keadaan betul-betul terjejas.

"Sekarang ini kami banyak bergantung dengan Foodpanda saja. Hari pertama PKPD pun orang dah tiada, tak tahulah sampai 10 Oktober ini," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Zon Nilai terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebahagian tiga jalan di Putra Point terlibat dengan PKPD bermula semalam hingga 10 November 2020.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jalan yang terlibat dengan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh anggota keselamatan iaitu Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B, Jalan BBN 1/7E.