Keda pulih semula 457 hektar tanah terbiar di Kedah

Kamarudin (kanan) mencuba peralatan pertanian petani semasa mengadakan lawatan kerja di Projek Pemulihan dan Menaiktaraf Sawah dan Tanah Terbiar di Kawasan Terpencil di Sungai Pial, Sungai Petani hari ini.
Kamarudin (kanan) mencuba peralatan pertanian petani semasa mengadakan lawatan kerja di Projek Pemulihan dan Menaiktaraf Sawah dan Tanah Terbiar di Kawasan Terpencil di Sungai Pial, Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sejumlah 457 hektar tanah terbiar di Kedah telah dipulih dan dinaik taraf menerusi Projek Pemulihan dan Menaik Taraf Sawah dan Tanah Terbiar oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) sejak 2014.

Pengurus Besarnya, Kamarudin Abd Akib berkata, tanah itu adalah sebahagian daripada 4,331 hektar tanah terbiar yang dikenal pasti di daerah Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kuala Muda, Padang Terap dan Kubang Pasu dan kini telah pun diusahakan semula oleh 1,084 petani dengan tanaman padi.

“Mereka ini dibantu Keda termasuklah bantuan dari segi perkhidmatan jentera untuk membaik pulih tanah, input-input pertanian seperti baja, racun, benih padi selain pembinaan sistem pengairan dan saliran serta infrastruktur lain yang memerlukan kos yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu di Kampung Sungai Pial di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, hasil daripada pemulihan tanah dan bantuan Keda itu, petani yang terlibat kini berjaya mengeluarkan hasil kira-kira tiga metrik tan per hektar, dengan jualan keseluruhan mencecah RM4.3 juta sejak 2014 hingga kini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, kebanyakan tanah terbiar tanpa diusahakan adalah disebabkan kekurangan tenaga buruh selain memerlukan perbelanjaan tinggi untuk dipulihkan selain memerlukan infrastruktur lengkap sebelum diusahakan.

Sementara itu, seorang petani yang mendapat manfaat daripada projek itu, Rotamizi Ahmad, 37, berkata, beliau bersyukur kerana dapat mengusahakan semula tanahnya yang menjadi sumber pendapatan kepada keluarganya.

“Dahulu tanah ini ditanam dengan kelapa, namun tidak diusahakan dan terbiar, kini dengan bantuan Keda, tanah saya telah dipulihkan semula untuk diusahakan dengan tanaman padi,” katanya yang mengusahakan sawah seluas kira-kira empat hektar. - Bernama

Artikel Berkaitan: