Hubungan rasmi Sudan-Israel cetus kontroversi

Sudan kini ditabir oleh Majlis Kedaulatan Sudan diketuai oleh Presidennya, Abdel Fattah al-Burhan yang juga seorang pegawai tentera. - Foto AFP
Sudan kini ditabir oleh Majlis Kedaulatan Sudan diketuai oleh Presidennya, Abdel Fattah al-Burhan yang juga seorang pegawai tentera. - Foto AFP
A
A
A

TINDAKAN Sudan untuk menormalkan hubungan dengan Israel baru-baru ini telah menyebabkan perpecahan pandangan dalam kalangan rakyatnya dengan sebahagian daripada mereka menganggap ia sebagai satu pengkhianatan.

Sebahagian penduduk pula melihat ia sebagai cara untuk menyelamatkan ekonomi negara itu yang kini semakin tenggelam dan dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa ekoran sekatan ekonomi di negara itu.

Pada 1997, Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Sudan yang membenarkan ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden tinggal di negara tersebut antara tahun 1992 dan 1996 sebelum beliau terbunuh di Pakistan dalam satu serbuan tentera AS pada tahun 2011.

Sekatan ekonomi kemudian ditarik balik pada tahun 2017.

Bagaimanapun, pengumuman menormalkan hubungan dengan Israel itu dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump pada 23 Oktober lalu selepas beliau menyatakan kesediaan untuk tidak menyenaraikan Sudan sebagai sebuah negara yang menaja keganasan pada tahun 1993.

Sebagai negara menaja keganasan itu, secara teknikal, Khartoum tidak layak untuk mengurangkan atau membiayai semula hutangnya dan ia terpaksa mendapatkan sumber kewangan daripada institusi-institusi utama antarabangsa yang memberi pinjaman.

Sudan dikatakan mempunyai hutang luar sebanyak AS$60 bilion (RM249.92 bilion) amat memerlukan sumber kewangan untuk memulihkan ekonominya kerana kadar inflasinya ialah 167 peratus pada Ogos lalu manakala nilai matawangnya menjunam disebabkan oleh tindakan kerajaan mencetak wang bagi memberikan subsidi roti, minyak dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Sudan kini mengalami krisis ekonomi dan tidak memperoleh bekalan roti yang mencukupi. - Foto AFP
Rakyat Sudan kini mengalami krisis ekonomi dan tidak memperoleh bekalan roti yang mencukupi. - Foto AFP

Pengumuman Trump bahawa Sudan yang terletak dekat dengan Arab Saudi dan bersempadan dengan Mesir itu tidak lagi berada dalam senarai negara yang menaja keganasan dibuat lebih awal iaitu beberapa hari sebelum Presiden AS tersebut mengumumkan Khartoum akan menormalkan hubungan dengan Israel.

Trump membuat pengumuman itu selepas Khartoum dilaporkan bersetuju membiayai pakej sebanyak AS$335 juta (RM1.3 bilion) sebagai pampasan kepada mangsa-mangsa dan keluarga AS akibat serangan yang didakwa dilakukan kumpulan Al-Qaeda.

Sudan dikatakan terlibat dalam kejadian pengeboman di Kedutaan Amerika di Kenya serta Tanzania.

Berita ura-ura Khartoum akan mewujudkan hubungan dengan Tel Aviv sudah didengari sejak Ogos lalu tetapi seorang diplomat dan jurucakap kerajaan Sudan, Haidar Badawi akhirnya dipecat daripada jawatannya selepas beliau dilaporkan berkata, tidak ada sebab untuk meneruskan permusuhan antara negaranya dengan Israel.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Sudan menafikan kenyataan tersebut dengan segera dan menyatakan bahawa isu tentang hubungan dengan negara Yahudi tersebut tidak pernah dibincangan kementerian berkenaan.

Jika tidak dibincangkan kenapakah Badawi boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa?

Beliau juga dilaporkan pernah berkata kepada Presiden Majlis Kedaulatan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dan Perdana Menteri, Abdullah Madok supaya menghormati rakyatnya dan membiarkan mereka mengetahui tentang perkembangan terkini hubungan negara berkenaan dengan Israel.

Ketika ini, negara berkenaan ditadbir sebuah kerajaan peralihan diketuai oleh al-Burhan yang juga seorang pegawai tentera berpangkat leftenan jeneral.

Akhirnya, apa yang diperkatakan oleh Badawi menjadi realiti apabila Sudan menjadi negara Arab ketiga menormalkan hubungan dengan Israel selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain ketika AS ditadbir oleh Trump.

Sebelum ini, hanya Mesir dan Jordan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahrain, UAE meterai hubungan rasmi dengan Israel

Hubungan yang akan terjalin dengan Israel itu diwujudkan selepas Omar al-Bashir yang memerintah sejak tahun 1989 digulingkan melalui satu rampasan kuasa tentera pada April tahun lalu.

Beliau kini ditahan dan dipenjarakan di Khartoum telah digulingkan oleh tentera berikutan tunjuk perasaan antipemeritahannya selama berbulan-bulan itu turut dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan melakukan pembunuhan menentang kemanusiaan di Darfur dan membunuh kira-kira 380,000 orang.

Bashir juga bekas seorang pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral sedang menghadapi perbicaraan rasuah dan rampasan kuasa tentera yang berlaku pada tahun 1989 bagi menggulingkan Perdana Menteri, Sadek al-Mahdi yang ketika itu dipilih secara demokrasi.

Sebelum ini, Sudan terkenal selama berdekad-dekad memboikot Israel.

Khartoum dijangka mewujudkan hubungan dengan Tel Aviv secara rasmi hanya selepas mendapat kelulusan daripada anggota-anggota Parlimen Sudan yang ketika ini masih belum wujud. - Foto AFP
Khartoum dijangka mewujudkan hubungan dengan Tel Aviv secara rasmi hanya selepas mendapat kelulusan daripada anggota-anggota Parlimen Sudan yang ketika ini masih belum wujud. - Foto AFP

Berikutan Perang Enam Hari pada tahun 1967, para pemimpin Arab bertemu di Khartoum untuk mengumumkan 'tiada keamanan, tiada pengiktirafan dan tiada rundingan dengan Israel.'

"Menormalkan hubungan bertentangan dengan undang-undang kebangsaan Sudan dan komitmen kebangsaan Arab," kata bekas Perdana Menteri negara itu, Sadiq al-Mahdi merujuk kepada pemboikotan Israel yang kekal dikuatkuasakan di bawah undang-undang Sudan.

Dalam satu tinjauan pendapat pada awal bulan ini oleh Pusat Arab Untuk Kajian Dasar dan Penyelidikan, hanya 13 peratus responden di negara tersebut menyokong hubungan dengan Israel berbanding 73 peratus yang menentangnya.

Institusi utama Islam di negara berkenaan juga mengeluarkan fatwa melarang menormalkan hubungan dengan Israel.

Seorang rakyat yang menguruskan syarikat transaksi kewangan, Eid Abdelmoneim berkata, penarikan Sudan daripada senarai negara menaja keganasan oleh AS dengan menormalkan hubungan dengan negara Yahudi tersebut tidak sepatutnya mempunyai kaitan.

"Tiada pihak berautoriti yang mempunyai hak untuk mencapai satu perjanjian seperti itu tanpa berunding dengan rakyatnya," kata Abdelmoneim.

Namun, Menteri Luar Sudan, Omar Qamareddin berkata, perjanjian untuk menormalkan hubungan itu hanya akan dikuatkuasakan selepas kelulusan diperoleh daripada anggota-anggota Parlimen yang setakat ini belum wujud itu telah diperoleh.

Setakat ini masih tidak jelas, bilakah Parlimen itu akan diwujudkan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat kenyataan menerusi Twitter pada Ahad lalu: "Kami sedang memandang ke hadapan bagi mewujudkan satu keamanan dan menghantar gandum bernilai AS$5 juta (RM20.83 juta) dengan segera kepada rakan baharu kami di Sudan."

Krisis ekonomi di Sudan kini telah menyebabkan negara berkenaan mengalami masalah kekurangan roti.

Seorang penganalisis, Jonas Horner daripada sebuah badan pemikir iaitu Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata, hubungan dengan Israel itu akan mencetuskan kemarahan kepada kerajaan peralihan Sudan.

"Menormalkan hubungan itu akan menambahkan lagi tentangan (rakyat yang kini memprotes kerajaan akibat krisis ekonomi) kepada kerajaan peralihan," tambahnya. - Agensi