X

Kindly register in order to view this article
!

Hentikan perbalahan, fokus pemulihan Covid-19

Abdul Rashid Mohamed Ali
A
A

KUANTAN - Sudah tiba masanya semua pihak berhenti berbalah sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada agenda pemulihan negara yang terkesan akibat penularan koronovirus (Covid-19).

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cameron Highlands, Dr Abdul Rashid Mohamed Ali berkata, situasi ketika ini tidak sesuai untuk berpolitik, sewajarnya semua pihak menghayati dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Mesyuarat Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, kelmarin.

Menurut beliau, pihaknya menghormati keputusan Al-Sultan Abdullah dan berharap ahli politik lain dapat menerima (titah) dengan hati terbuka.

"Seri Paduka Baginda menyarankan supaya semua pihak berhenti berpolitik. Saranan ini sangat tepat dan bersesuaian dengan situasi politik semasa dalam negara yang begitu kurang menarik di mata pelabur luar.

"Jadi, sudah tentu ia akan menjejaskan perancangan kerajaan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menggesa semua parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional terus bersama-sama membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas membantu rakyat dengan lebih lancar.

Katanya, kerajaan Persekutuan pada ketika ini sangat prihatin dengan kesukaran rakyat sejak Covid-19 mula melanda Malaysia awal tahun ini.

"Kita sudah melihat kesukaran dihadapi kebanyakan rakyat ketika fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan kita juga telah lihat kerajaan sedaya upaya memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat dan ini adalah antara usaha yang perlu diteruskan.

"Kerjasama semua pihak untuk berhenti bermain politik kerana wabak ini masih belum menunjukkan akan berakhir dalam masa terdekat. Jadi, biarlah kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dan hormatilah titah Yang di-Pertuan Agong, demi kebaikan kita semua," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!