X

Kindly register in order to view this article
!

Dua dipercayai dalang curi balak ditahan

Anggota penguat kuasa Pejabat PHD Raub mengukur 29 balak curi yang ditempatkan dalam kilang papan di Jalan Batu Malim, Raub. - Foto PHD Raub
A
A

KUANTAN - Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menahan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri balak di Kompatmen 43 Hutan Simpan Tersang, kelmarin.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, dua individu berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan ketika berada di kawasan hutan simpan tersebut selain menyita sebuah motosikal jenis Honda EX5, kereta jenis Proton Iswara dan jengkaut.

"Kita yakin dua individu ini dipercayai dalang sindiket mencuri balak spesies Meranti Tembaga di daerah ini.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan dan pendakwaan akan dijalankan dalam masa terdekat jika terbukti mereka terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan apa juga kesalahan hutan terutama mencuri balak dan menyifatkan kegiatan haram individu tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerugian besar kepada Kerajaan Pahang.

"Kita akan terus melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan hutan di seluruh Pahang dan masyarakat juga perlu bekerjasama dalam menyalurkan maklumat kepada pihak perhutanan berkaitan kegiatan balak di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Shahril berkata, pihaknya berjaya mengesan 29 tual balak spesies Meranti Tembaga bernilai RM24,000 dipercayai kayu curi yang disimpan dalam kilang papan di Jalan Batu Malim, Raub.

Katanya, kejayaan itu hasil risikan anggota perhutanan dan hasil pemeriksaan menemui selonggok balak yang disimpan di satu sudut kilang berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua balak berkenaan tidak mempunyai tanda tukul hasil dan telah menggunakan pas memindah palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya.

"Pihak kita juga mendapati balak berkenaan sudah dipotong menggunakan mesin bergergaji menjadikan saiz antara dua hingga lapan meter panjang, tujuannya untuk mengelak dikesan sekiranya pemeriksaan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kini pihaknya sedang berusaha mengesan lokasi hutan tempat pokok spesies Meranti Tembaga itu ditebang.

"Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian dengan pekilang tempatan dan pemandu lori kerana kegiatan mereka begitu tersusun serta lancar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kita akan terus mengesan sindiket ini dan tindakan tegas akan diambil dengan mengheret pemilik kilang papan terbabit ke mahkamah kerana kesalahan menyimpan balak curi, mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Shahril berkata, balak yang dirampas kini disimpan sementara di stor rampasan Batu 18, Tersang, di sini sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

"Satu laporan polis berhubung kesalahan hutan dan pemalsuan dokumen kerajaan turut dibuat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!