X

Kindly register in order to view this article
!

Geng samun bank tumpas

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan parang yang digunakan geng samun bank berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya memberkas empat individu termasuk seorang wanita dipercayai ahli geng samun bank dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka ditahan selepas dipercayai melakukan samun terhadap seorang ahli perniagaan warganegara China berusia 50 tahun selepas keluar dari bank dengan melarikan wang RM242,000 kira-kira jam 1.45 petang di Taman Nusa Bestari pada hari sama.

Menurutnya, dalam serbuan kira- kira jam 7.45 malam itu, polis merampas tujuh buah telefon bimbit, dua bilah parang, 12 keping nombor plat kenderaan dan wang tunai RM26,280.

Beliau berkata, sejak tahun 2019, pihaknya mengenal pasti satu kumpulan penjenayah warga Indonesia yang aktif melakukan samun bersenjatakan parang.

"Modus operandi geng ini mengekori mangsa yang keluar dari bank dengan mengenalpasti mereka yang berpakaian kemas dan menaiki kereta mewah sebelum samun.

"Geng ini juga menggunakan kereta sewa tetapi nombor plat kenderaan diubah setiap kali mereka menyamun. Selepas menyamun, hasil wang tunai segera dipindahkan ke dalam akaun yang didaftarkan di Indonesia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, pada awal tahun ini, pihaknya berjaya menangkap seramai enam individu termasuk ketua Geng Samun Bank.

"Susulan penahanan tersebut, polis berjaya menyelesaikan 12 kes yang melibatkan kerugian hampir RM2 juta.

"Polis percaya tangkapan empat individu pada Khamis lalu adalah ahli kumpulan yang sama. Polis akan meneruskan usaha bagi mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas," katanya.

Menurutnya, empat suspek berusia dari 25 hingga 51 tahun itu direman selama seminggu bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!