X

Kindly register in order to view this article
!

Sepanyol isytihar perintah darurat

Sanchez mengisytiharkan perintah darurat kedua bertujuan untuk mengawal penularan Covid-19 selepas langkah itu pertama kali dikuatkuasakan pada Mac lalu.
A
A

BARCELONA - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengisytiharkan perintah darurat kedua bertujuan untuk mengawal penularan koronavirus (Covid-19) selepas langkah itu pertama kali dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Pemimpin sosialis terbabit mengumumkan langkah luar biasa itu menerusi ucapan disiarkan stesen TV yang akan berkuat kuasa pada hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Sanchez mengadakan mesyuarat khas berikutan Madrid berdepan desakan banyak pihak untuk bertindak segera membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Jurucakap kerajaan memaklumkan para menteri mengkaji syarat untuk pelaksanaan langkah darurat tersebut malah ia turut disambut baik kebanyakan komuniti autonomi di Madrid.

Menurut Sanchez, kerajaan pimpinannya akan menggunakan perintah darurat tersebut untuk menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 11 malam hingga 6 pagi (waktu tempatan) di seluruh negara kecuali di Kepulauan Canary.

"Pemimpin 19 wilayah Sepanyol juga akan diberi kuasa untuk menetapkan tempoh berbeza bagi melaksanakan perintah berkurung yang ketat, menutup sempadan wilayah dan mengehadkan perjumpaan sosial kepada enam individu. Sepanyol dan rantau Eropah kini berdepan gelombang kedua pandemik ini," jelasnya.

Katanya, beliau juga akan meminta kelulusan Parlimen pada minggu depan untuk melanjutkan tempoh darurat tersebut selama enam bulan sehingga Mei 2021.

Gesaan untuk mengisytiharkan perintah darurat meningkat beberapa hari selepas negara itu merekodkan lebih sejuta kes jangkitan Covid-19 dan menjadi negara pertama paling teruk terjejas di rantau Kesatuan Eropah (EU).

Terdahulu, sebanyak sembilan daripada 17 wilayah autonomi di Sepanyol telah membuat permohonan secara rasmi supaya kerajaan mengisytiharkan darurat yang membolehkan mereka melaksanakan perintah berkurung yang dikuatkuasakan secara meluas di seluruh Eropah.

Difahamkan, Castilla dan Leon tanpa menunggu pengisytiharan kerajaan telah mengumumkan perintah berkurung di wilayah terbabit yang melarang pergerakan antara jam 10 malam dan 6 pagi (waktu tempatan).

Wilayah Valencia dijangka mengambil langkah sama manakala Catalonia menyatakan ia mungkin melaksanakan perintah berkurung sejurus darurat diisytiharkan selain mempertimbangkan peraturan baharu duduk di rumah. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!