Covid-19: 57 pelajar, guru jalani ujian saringan

Kesemua warga sekolah menjalani ujian saringan hari ini.
Kesemua warga sekolah menjalani ujian saringan hari ini.
A
A
A

IPOH - Seramai 57 warga Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Izzuddin Shah selesai menjalani ujian calitan (swab test) berikutan seorang pelajar disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19), Khamis lalu.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ujian saringan itu melibatkan 46 pelajar, sembilan guru dan dua kakitangan sekolah.

“Setakat hari ini, 20 pelajar pelbagai tingkatan dan seorang guru Sekolah Raja Perempuan Taayah telah jalani ujian swab, manakala 13 pelajar Tingkatan Enam Rendah dan 13 pelajar Tingkatan Enam Atas dari Sekolah Izzuddin Shah turut menjalani ujian sama.

“Jumlah keseluruhan mereka yang menjalani ujian termasuk lapan guru dan dua kakitangan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua mereka yang terlibat sedang menjalani kuarantin di asrama masing-masing dan keputusan akan diterima dalam tempoh terdekat.

Mohd Akmal turut menasihatkan semua pihak bersabar dan patuh arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sementara menunggu keputusan ujian.

“Ibu bapa dan orang ramai diminta untuk tidak cemas, banyak berdoa semoga segala urusan dalam keadaan terkawal.

"Pihak sekolah turut bersedia untuk menjalankan proses pembersihan dan disinfeksi dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini ditutup mulai semalam berikutan seorang pelajar dikesan positif Covid-19.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pengurusan kedua-dua sekolah terbabit mengambil tindakan segera menutup serta-merta sekolah berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam Facebook rasminya memaklumkan enam kes baharu merupakan lima kes jangkitan tempatan dan satu kes berpunca dari luar Perak.

Katanya, kes-kes melibatkan daerah Kerian dengan catatan tiga kes manakala, Kinta, Larut Matang dan Selama serta Hilir Perak masing-masing satu kes.

"Daerah Kerian melibatkan dua kes daripada Kluster Buntar manakala, satu kes daripada Kluster Alma.

"Daerah Kinta pula adalah daripada kluster sedia ada iaitu Kluster Buntar. Kes adalah kes jangkitan tempatan. Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di dalam Kluster Buntar adalah 34 kes.

Katanya lagi, Daerah Larut Matang Selama pula daripada saringan kontak rapat kes dan tidak berkaitan dengan mana-mana kluster lain. Kes adalah jangkitan tempatan.

"Daerah Hilir Perak adalah daripada kluster sedia ada iaitu Kluster Melati dan kes adalah berpunca dari luar Perak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SekoIah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Taayah ditutup