Tak lena tidur setiap kali hujan

Mohd Lasek (kanan) dan Saenah (kiri) hanya bergantung hidup dengan bantuan JKM.
Mohd Lasek (kanan) dan Saenah (kiri) hanya bergantung hidup dengan bantuan JKM.
A
A
A

PONTIAN - Masalah bumbung rumah bocor hingga terpaksa menadah air hujan menggunakan besen sudah menjadi kebiasaan bagi sepasang suami isteri dalam meniti kehidupan mereka sebagai warga emas yang tinggal di Kampung Sungai Pinggan, Benut di sini.

Mohd Modek Lakasek, 73 dan isterinya, Saenah Nikmat, 80, malah kadang-kadang cemas jika berlaku angin kencang kerana bimbang atap rumah mereka tercabut.

"Setiap kali hujan, saya dan isteri akan menggunakan besen untuk menadah air hujan akibat bumbung yang bocor.

"Bumbung di bahagian depan rumah dan dapur paling teruk bocor. Setiap kali hujan kami tidak dapat lelap mata," kata Mohd Modek ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerjaan (NGO), Volunteer Pasir Gudang, hari ini.

Menurut lelaki itu, bukan sahaja atap rumahnya sudah bocor tetapi dinding rumah papan mereka diami itu juga tidak elok lagi kerana berlubang hingga menyebabkan tempias setiap kali hujan lebat bersama angin kencang.

Tambah Mohd Lasek, dalam keadaan menjalani kehidupan di rumah itu, dia sudah tidak mampu bekerja dan menghidap asma manakala isterinya pula menghidap kencing manis serta mengalami masalah rabun serius.

Keadaan dinding rumah yang hampir reput. (Kanan: Keadaan dapur rumah didiami pasangan warga emas itu.)
Keadaan dinding rumah yang hampir reput. (Kanan: Keadaan dapur rumah didiami pasangan warga emas itu.)

Mereka menyara hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 sebulan dan makan minum pula disumbangkan oleh penduduk kampung yang simpati dengan nasib mereka.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Lasek, mujurlah rumah tersebut adalah kediaman sendiri yang diduduki mereka sejak berkahwin walaupun keadaannya kini begitu daif namun kediaman itu tetap istimewa di hati mereka.

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, pasangan tersebut memerlukan susu untuk Saenah selain barang-barang dapur bagi meringankan beban mereka.

"Sekiranya ada kontraktor yang ingin membantu membaik pulih rumah pasangan ini amat dialu-alukan," katanya.

Tambahnya, mereka yang ingin membantu boleh menghubungi 019 3860164 (Modek) atau sumbangan ke akaun BSN Modek 01122-41-00000961-5.