X

Kindly register in order to view this article
!

Ijazah palsu: Eksekutif jualan didakwa tuduhan rasuah

Eksekutif jualan, C. Vijayakumar, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda sebuah universiti swasta tanpa mengikut prosedur yang betul, pada tahun lepas. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda sebuah universiti swasta tanpa mengikut prosedur yang betul, tahun lepas.

C. Vijayakumar, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima untuk dirinya suatu suapan wang tunai sebanyak RM11,000 daripada Mohd Izham Mohd Hashim, 38, sebagai upah untuk tertuduh mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) daripada universiti swasta itu atas nama Mohd Amzar Hashim tanpa mengikut prosedur yang betul, di dalam sebuah kereta jenis Alza warna biru di hadapan sebuah kedai di Jalan Ipoh di sini pada 4.22 petang, 15 April 2018.

Vijayakumar dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir menawarkan jaminan RM15,000 dan memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam bagi memudahkan perbicaraan.

“Saya pohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam berikutan saksi dalam kes ini adalah sama.

“Semalam tertuduh telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan rasuah,” katanya.

Vijayakumar yang diwakili peguam Badrul Munir Mohd Bukhari memohon wang ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Shah Alam semalam atas kesalahan rasuah serta anak guamnya berpendapatan RM3,000 sebulan dan perlu menanggung keluarga.

“Anak guam saya perlu menanggung isteri serta seorang anak berusia tujuh bulan selain ibu bapa yang sudah tua.

“Anak guam saya sebelum ini telah memberikan kerjasama sepenuhnya sejak ditahan SPRM pada April tahun lepas dan tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan seperti yang diarahkan,” katanya.

Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Feb untuk sebutan semula kes di Mahkamah Shah Alam.

Semalam, Vijayakumar turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah masing-masing iaitu RM12,500 dan RM1,500 atas kesalahan sama.

Mahkamah Shah Alam membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta seorang penjamin dan pasport serah kepada mahkamah hingga kes selesai. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!