Asia jadi rantau kedua paling teruk terjejas Covid-19

Sekumpulan pekerja menguji alat semburan 'fogging' untuk menghapuskan nyamuk dan virus seperti Covid-19 di Ahmedabad, India. - Foto AFP
Sekumpulan pekerja menguji alat semburan 'fogging' untuk menghapuskan nyamuk dan virus seperti Covid-19 di Ahmedabad, India. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Lebih 10 juta kes jangkitan koronavirus (Covid-19) direkodkan di Asia hari ini yang menjadi rantau kedua paling teruk terjejas pandemik itu di dunia.

Data dikeluarkan Reuters berdasarkan laporan rasmi itu menunjukkan Asia menyumbang kira-kira satu perempat daripada 42.2 juta kes jangkitan keseluruhan dan lebih 163,000 kematian atau kira-kira 14 peratus daripada angka korban global.

Di Asia Selatan, India menjadi negara paling teruk terjejas dengan hampir 21 peratus daripada kes jangkitan dan 12 peratus kematian global.

Di Asia Tenggara pula, Indonesia mengatasi Filipina pada minggu lalu menjadi negara paling tinggi mencatatkan kes jangkitan di rantau terbabit dengan lebih 370,000 jangkitan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dunia terutamanya Hemisfera Utara kini berada pada titik kritikal dan beberapa negara di ambang bahaya.

“Beberapa negara akan menghadapi detik sukar dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kami menggesa pemimpin mengambil langkah segera berikutan kebanyakan negara kini berdepan lonjakan kes jangkitan,” kata Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurutnya, beberapa negara di rantau Eropah juga mencatatkan kes jangkitan lebih tinggi berbanding gelombang pertama pada Mac dan April lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: