X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas ADUN Tanjung Dawai meninggal dunia

Rokiah Hashim
A
A

ALOR SETAR - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Rokiah Hashim meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah, semalam.

Rokiah, 76, yang juga Pengerusi Peladangnita Kebangsaan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Petani kira-kira jam 2.45 petang selepas demam secara tiba-tiba.

Anak lelakinya, Mohd Shahniz Othman, 46, berkata, ibunya kelihatan sihat dan sempat meraikan sambutan ulang tahun kelahiran di kedai miliknya pada 14 Oktober lalu bersama ahli keluarga lain.

"Sebelum ini, mak memang ada buat rawatan masalah buah pinggang dan perlu makan ubat tetapi dia tidak pula menghadapi apa-apa masalah.

"Bagaimanapun, pada pagi Sabtu lalu mak demam dan berada dalam keadaan separa sedar tetapi masih menunjukkan respons ketika dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mohd Shahniz berkata, ibunya melibatkan diri dalam bidang politik hingga menjadi ADUN Tanjung Dawai pada 1986 serta terus aktif dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan dengan memegang beberapa jawatan termasuk Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Kedah selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat.

"Sehingga akhir hayatnya, mak sentiasa komited melakukan kerja-kerja berkenaan, selain turut menjadi Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan sebagainya," katanya.

Jenazah Rokiah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Irsyad Kampung Tempoyak, di sini, kira-kira jam 6.30 petang semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!