Trump, Biden berbalah isu rasuah dalam debat Presiden AS

Trump (kiri) dan pencabarnya, Joe Biden ketika menyertai debat presiden negara itu di kampus Universiti Belmont, Nashville semalam. - Foto AFP
Trump (kiri) dan pencabarnya, Joe Biden ketika menyertai debat presiden negara itu di kampus Universiti Belmont, Nashville semalam. - Foto AFP
A
A
A

NASHVILLE - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden dari Parti Demokrat saling tuduh-menuduh melakukan rasuah dan kedua-dua mereka turut berbalah mengenai pandemik koronavirus (Covid-19) dalam debat terakhir Presiden AS semalam.

Debat itu diadakan 12 hari sebelum Pilihan Raya Presiden AS diadakan pada 3 November ini dan ia kelihatan lebih berhemah berbanding debat pusingan pertama yang diadakan pada bulan lalu apabila Trump menghabiskan masa mencelah ke arah Biden.

Kali ini, Presiden AS itu merujuk pencabarnya itu sebagai 'Joe' malah memuji moderator debat tersebut, Kristen Welker dari stesen penyiaran NBC News yang diberikan kuasa bagi menutup mikrofon kedua-dua mereka jika menunjukkan sikap tidak berhemah kepada penonton.

"Saya menghormati cara anda (Welker) mengendalikan (debat) ini, setakat ini," kata Trump dalam perdebatan itu sebelum beliau dan Biden berhenti rehat di kampus Universiti Belmont di Nashville.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka saling menyampuk ketika berdebat mengenai isu rasuah.

Trump, 74, memberi signal bahawa beliau cuba untuk merosakkan reputasi Biden dengan menyentuh tentang tuduhan bahawa anak lelaki pencabarnya, Hunter terlibat dalam rasuah di China dan Ukraine ketika Biden masih menjadi Naib Presiden ketika berkhidmat dengan Barack Obama yang ketika itu Presiden AS.

Presiden AS daripada Parti Republikan itu cuba untuk membangkitkan isu itu tersebut berulang kali dengan menyatakan terdapat tuduhan rasuah yang 'kritikal'.

Trump menyatakan kepada Biden, 77, dengan berkata: "Saya berpendapat anda berhutang penjelasan kepada penduduk Amerika."

Artikel Berkaitan:

Biden menangkis serangan itu dengan menyatakan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan soalan tentang rasuah itu perlu dibangkitkan kepada Trump kerana beliau mempunyai akaun bank di China dan gagal mendedahkan penyata cukainya di AS.

"Apa yang mereka tidak tahu ialah anda (Trump) tidak membayar cukai anda atau anda membayar cukai tetapi terlalu rendah," katanya.

Beliau merujuk kepada laporan tentang penyata cukai yang bocor yang menunjukkan Presiden AS itu hanya membayar cukai pendapatan sebanyak AS$750 (RM3,109.87) beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, senjata utama Biden, seperti yang diperkatakan dalam kempen menentang Trump adalah mengkritik cara Trump mengendalikan krisis Covid-19 yang kini telah menyebabkan kira-kira 220,000 orang meninggal dunia.

"(Seramai) 220,000 orang Amerika meninggal dunia. Sesiapa yang bertanggungjawab kerana (berlaku) banyak kematian mati tidak sepatutnya kekal menjadi Presiden Amerika Syarikat," ujarnya.

Trump yang dimasukkan ke sebuah hospital tentera kerana Covid-19 pada bulan ini tetapi telah pulih menangkis balik dengan menyatakan bahawa beliau mendesak AS dibuka semula secepat mungkin walaupun pakar-pakar memberi amaran bahawa lebih banyak langkah berjaga-jaga perlu dilakukan.

"Kami mempunyai satu vaksin dan ia akan tiba. Ia akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi," tambah Trump.

Trump dan Biden turut berbalah tentang hubungan persahabatan antara Presiden AS itu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan berkata bahawa beliau berjaya mengekalkan Semenanjung Korea selepas Biden dan Obama meninggalkan pentadbiran AS dengan satu ancaman perang nuklear dari negara tersebut. - AFP