Kerajaan didakwa lalai sehingga cetus gelombang ketiga

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat khas Kabinet hari ini perlu memberikan fokus kepada isu wabak koronavirus (Covid-19) memandangkan kerajaan didakwa telah lalai dengan membiarkan gelombang ketiga itu berlaku.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, kini lebih daripada 1,000 pelajar sekolah dijangkiti wabak itu.

"Kabinet juga perlu menyalurkan semua sumber yang ada untuk melawan wabak ini di Sabah, memandangkan daripada 8,183 kes aktif, 6,243 kes adalah dari Sabah dengan 76 peratus daripada semua kes.

"Masanya telah tiba untuk Kabinet bertanggungjawab terhadap kes yang melonjak di Sabah. Daripada sejumlah 426 kes dan lapan kematian pada 1 September, (jumlah meningkat) kepada 9,868 serta 76 kematian pada 21 Oktober," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam pada itu, veteran DAP itu turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menanamkan semangat melibatkan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' kepada semua menteri Kabinet jika mahu menang dalam melawan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Kit Siang turut memberi beberapa contoh tindakan sabotaj terhadap usaha melibatkan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' yang dilakukan oleh para menteri yang perlu dibangkitkan serta dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet memandangkan banyak pengajaran penting yang dapat dipelajari.

"Antaranya, layanan berbeza dalam kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19 melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang diputuskan tidak memerlukan tindakan lanjut oleh Pejabat Pendakwa Raya.

"Selain itu, ketiadaan Menteri Kesihatan di Sabah untuk memimpin usaha melawan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kit Siang turut menyifatkan Sabah ditinggalkan untuk membela nasibnya bersendirian sedangkan negeri itu merupakan pusat penularan utama gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

Justeru, katanya, mesyuarat khas Kabinet itu sepatutnya melancarkan satu kempen penglibatan 'keseluruhan kerajaan' dan 'keseluruhan masyarakat' untuk menghentikan penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 dan memastikan peningkatan kes harian tidak mencapai empat angka.