Tiada halangan jika tunjuk kad kerja, surat majikan

Abd Rahim Jaafar
Abd Rahim Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak akan menghalang atau menahan mana-mana individu yang mahu ke tempat kerja selagi mereka menunjukkan kad kerja atau surat pengesahan majikan ketika melalui sekatan jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, sekiranya pekerja menunjukkan kad kerja atau surat majikan, ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

"Seperti yang kita sedia tahu, arahan yang dikeluarkan kerajaan kepada pekerja awam dan swasta melibatkan bahagian pengurusan dan penyeliaan untuk bekerja dari rumah.

"Bagi kita (polis), selagi mereka menunjukkan kad kerja dan surat, kita tidak ada masalah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini polis tidak menerima sebarang aduan pekerja dihalang pergi ke tempat kerja ketika melalui sekatan jalan raya.

"Polis tidak membenarkan mereka yang cuba merentas negeri tanpa sebarang surat permohonan.

"Kita hanya halang sekiranya ada individu itu cuba rentas negeri tanpa surat permohonan, itu tidak boleh," katanya.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan mendakwa menerima beberapa laporan dan aduan membabitkan pekerja yang bukan daripada bahagian pengurusan dan penyeliaan berdepan masalah ketika ditahan di sekatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendapat aduan ada pekerja yang diminta mendapatkan permit daripada polis untuk bekerja terlebih dahulu sedangkan permit hanya perlu jika perjalanan rentas daerah.

Selasa lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan dalam zon merah di kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarah bekerja di rumah berkuat kuasa semalam.