PKPD di Anjung Teduh, Lahad Datu bermula 24 Oktober

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Anjung Teduh yang terletak di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa dari 24 Oktober 2020 hingga 6 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD bagi mengawal penularan koronavirus (Covid-19) itu akan melibatkan sebanyak 554 unit rumah dengan sejumlah 4,629 penduduk.

"Semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan tidak dibenarkan untuk keluar masuk namun terdapat kelonggaran bagi kes kecemasan seperti kematian atau kemalangan.

"Kedai runcit dalam perkampungan tersebut dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang untuk penduduk membeli barang keperluan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut melaksanakan PKPD di lima penjara di Zon Utara dan empat penjara di Zon Selangor serta kuarters perumahan penjara terbabit bermula hari ini sehingga 4 November depan, susulan penularan Covid-19 di kawasan itu.

Katanya, PKPD di Zon Utara itu membabitkan Pusat Koreksional Perlis; Penjara Sungai Petani; Penjara Taiping; Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah manakala di Zon Selangor membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh; Penjara Kajang; Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

"Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan manakala pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di enam lokaliti di Semporna iaitu Kampung Bangau-Bangau; Kampung Panji; Kampung Air; Kampung Selamat; Kampung Simunul; Kampung Pinggir Bakau dan satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan yang akan tamat pada 24 Okt ini pula dilanjutkan sehingga 6 Nov ini.

Katanya, pelanjutan itu berikutan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati masih terdapat penularan kes COVID-19 di kawasan tersebut serta bagi membolehkan saringan berterusan dilakukan KKM.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri berkata, seramai 27 pendatang tanpa izin berjaya ditahan serta sembilan kenderaan darat berjaya dirampas menerusi Ops Benteng semalam.

Katanya, polis juga telah menahan 636 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Pergerakan Kawalan Pemulihan dan daripada jumlah itu, seramai 595 individu telah dikompaun, 38 individu direman dan tiga telah dijamin. - Bernama.