Polis, syarikat penerbangan bekerjasama tangani penyeludupan dadah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis akan bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi menangani penglibatan kakitangan syarikat penerbangan dalam kegiatan menyeludup dadah di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata penglibatan kakitangan syarikat penerbangan menyeludup dadah dan ditangkap di luar negara menimbulkan sedikit kegusaran.

"Ia menjejaskan imej negara dan seolah-olah menggambarkan Malaysia tiada undang-undang yang tegas terhadap mereka ini. Oleh yang demikian, saya di JSJN berusaha untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini.

"Harus diingat, ia berlaku bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi juga imej syarikat penerbangan itu sendiri. Sekarang ini mustahak langkah drastik kita kena ambil adalah menumpukan perhatian kepada soal kakitangan syarikat penerbangan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Porgram Latihan Asas Kepolisan Konstabel membabitkan 248 pelatih di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan membabitkan rakyat negara ini selepas terlibat kegiatan penyeludupan dadah di luar negara.

Mohmad berkata paling terbaru tangkapan membabitkan kakitangan syarikat penerbangan negara ini berlaku di Australia dan sebelum itu di Batam Indonesia.

Menurutnya penyeludup dadah dari negara ini menjadikan negara di Asia Pasifik sebagai tumpuan mereka iaitu di Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Katanya ini termasuklah rakyat negara ini menjadi keldai dadah yang merupakan satu fenomena berlaku kalangan golongan remaja.

Artikel Berkaitan:

Mohmad berkata dalam menangani perkembangan semasa penyeludupan dadah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkuatkan lagi kerjasama dengan agensi dadah antarabangsa.

Katanya ini termasuklah mengadakan kerjasama baik dengan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) sebuah agensi penting Persekutuan Amerika Syarikat dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Singapura.

Menurutnya satu lagi aspek adalah perlu membuat kempen penerangan mengenai undang-undang terpakai di negara lain berkaitan kesalahan dadah.

"Kadang-kadang rakyat negara ini tidak tahu dan menyangka jika ditangkap kesalahan dadah di negara lain mungkin hanya dikenakan penjara dua hingga tiga tahun sahaja.

"Biarpun lain negara tidak mengenakan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah tetapi dari segi penjara ia membabitkan tempoh lama," katanya.

Mohmad berkata aspek ini perlu ditekankan kalangan rakyat negara ini disebabkan ada kalangan remaja sanggup menyeludup dadah kerana upah lumayan dan dalam keadaan terdesak untuk mencari duit banyak dalam masa yang cepat serta kerja mudah. - Bernama