10 tahun hidu bau busuk

Abdullah (dua kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Bohor, Mukim Hutan Kampung membuat bantahan terhadap kilang tersebut yang berdekatan dengan kediaman mereka.
Abdullah (dua kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Bohor, Mukim Hutan Kampung membuat bantahan terhadap kilang tersebut yang berdekatan dengan kediaman mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 20 keluarga di Kampung Bohor, Mukim Hutan Kampung, dekat sini mendakwa sebuah kilang memproses makanan segera menyebabkan sisa buangan mencemarkan air dan bau busuk di kawasan kediaman mereka sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Surau Kampung Bohor, Abdullah Ariffin, 66, berkata, justeru mereka mahu pihak berkuasa mengambil tindakan memindahkan kilang berkenaan.

Beliau mendakwa, keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan malah ada penduduk yang tidak dapat menikmati hidangan selain rumah dimasuki air sisa buangan tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menghantar surat bantahan kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang meminta tindakan dapat dilakukan segera bagi memulihkan aktiviti harian penduduk di sekitar kilang tersebut.

"Sisa buangan dari kilang tersebut gagal dialir keluar dari kawasan ini dan akhirnya yang menjadi mangsa ialah penduduk di sekitar kilang ini. Kami tidak dapat hidup selesa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor, dekat sini hari ini.

Abdullah Ariffin
Abdullah Ariffin

Seorang penduduk, Abd Malik Endut, 61 berkata, kawasan rumahnya sering dilimpahi air busuk apabila hujan dan rumput akan layu serta kekuningan selepas ditenggelami air.

Bagaimanapun, dia tidak tahu kandungan sisa buangan tersebut namun yang jelas air berwarna hitam dan busuk.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, difahamkan sisa buangan tersebut turut menjejaskan beberapa petani yang mengusahakan tanaman padi apabila kulit mereka mengalami kegatalan jika melakukan kerja-kerja di sawah.

Bashah Saiddin, 78, pula mendakwa masalah tersebut mengakibatkan sawah padinya seluas 0.25 hektar tidak dapat diusahakan kerana pencemaran air yang mengganggu pembesaran padi.

"Tanah sawah saya seluas satu relung sudah lama tidak dapat diusahakan. Kawasan tanah sawah berhampiran juga ada yang terjejas namun mereka masih boleh tanam padi kerana tidak seteruk masalah pencemaran air yang saya alami,"katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya pada 9 September lalu telah menerima aduan daripada penduduk Kampung Bohor yang mendakwa terdapat kilang memproses makanan di kampung tersebut.

Menurutnya, MBAS telah mengeluarkan surat kepada pemilik kilang supaya mematuhi syarat yang telah diberikan di dalam syarat Kebenaran Merancang Terhad (KMT) seperti dikeluarkan pada 29 Februari 2019.

"Syarat-syarat KMT ialah perlu mengemukakan Perlanjutan Kebenaran Merancang Terhad (KMT) setiap tahun, mengemukakan permohonan pelan bangunan (As Built) kepada Jabatan Kawalan Bangunan MBAS dan menghentikan kerja-kerja pembinaan dan mengosongkan bangunan sehingga mendapat kelulusan Permohonan Pelan Bangunan.

"Pada 1 Januari 2020, pemilik kilang telah mengemukakan Permohonan Perlanjutan KMT selama setahun sehingga 25 Februari 2021," katanya.