Bau busuk rungkai penemuan mayat pesara kerajaan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bau busuk di sebuah kawasan perumahan teres di Seksyen U15 di sini merungkai penemuan mayat seorang wanita di salah sebuah rumah di kawasan tersebut pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, mangsa seorang wanita berumur 63 tahun dan merupakan pesara kerajaan.

"Siasatan awal mendapati rumah dalam keadaan berkunci dan pintu terpaksa dipecahkan dengan bantuan pihak bomba.

"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari di ruang tamu rumah tersebut berdasarkan keadaan yang telah berbau," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah tersebut.

"Mangsa dipercayai hanya datang sekali sekala daripada Pahang," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam dan usaha mengesan waris mangsa sedang dijalankan.

"Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Saipol Paizi Zainol di talian 012-5781435," katanya.