Bomba Johor kesan pencemaran sisa buangan industri

Pihak HAZMAT dan JAS melakukan ujian kandungan air di sebuah parit berdekatan sebuah kilang yang dicemari sisa buangan di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru, pada Selasa.
Pihak HAZMAT dan JAS melakukan ujian kandungan air di sebuah parit berdekatan sebuah kilang yang dicemari sisa buangan di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan pencemaran sisa bahan buangan berbahaya dipercayai berpunca daripada sisa industri di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada jam 1.29 petang.

"Susulan itu 14 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kempas dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.

"Siasatan mendapati berlaku kejadian pencemaran bau di kawasan parit yang bersebelahan sebuah kilang.

"Kita juga maklum terdapat air bertakung dan bau busuk," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menghubungi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk hadir ke lokasi.

"Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM Johor yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saifulbahri Safar turut hadir dan membuat tugas-tugas 'detection' dan mengambil sampel bersama-sama pegawai JAS Johor.

"Hasil awal mendapati parit tersebut tercemar dengan bahan-bahan 'schedule waste'. Bahan-bahan yang didapati hasil dari kerja-kerja 'detection' dan 'sampling' ialah 'acrolein', 'benzene', carbon dioxide, 'methane' dan 'ethylene oxide'," ujar beliau.

Lokasi insiden katanya, telah diambil alih pihak JAS kerana susulan kerja-kerja 'detection' tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkat awal.