Pengusaha rayu buka kembali Taman Negara

Suasana lengang di Taman Negara sejak ditutup sementara sejak 6 Oktober lalu.
Suasana lengang di Taman Negara sejak ditutup sementara sejak 6 Oktober lalu.
A
A
A

JERANTUT - Hampir RM2 juta kerugian yang terpaksa ditanggung khususnya penggiat pelancongan selepas Taman Negara, Kuala Tahan ditutup sementara kepada pelancong sejak 6 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Leftenan Komander (Bersara), Mohd Abdul Rani Harun, 50, mendakwa jumlah kerugian tersebut dihadapi mereka sehingga November ini berikutan antaranya pembatalan tempahan bilik, pakej, sewaan bot jika pusat pelancongan terkenal negara itu masih belum dibuka sehingga tempoh tersebut.

Mohd Abdul Rani Harun
Mohd Abdul Rani Harun

Menurutnya, seramai 363 pengusaha terdiri pengusaha chalet, resort, pemilik bot, wakil agensi, pemandu pelancong serta peniaga tempatan kini buntu dan resah memandangkan sumber pendapatan mereka kian terjejas.

"Kami tertanya-tanya bila Taman Negara akan dibuka semula kerana pihak berkuasa masih belum mengumumkan sebarang tarikh muktamad bila ia dibuka kepada pelancong," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, terdesak dengan situasi tersebut, lapan wakil penggiat terlibat termasuk dirinya telah menandatangani petisyen memorandum kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Menteri Besar Pahang, pemimpin tempatan dan pihak berkuasa tempatan.

"Selepas dua minggu, kami semua buntu kerana sumber pendapatan kian berkurangan tapi rayuan kami masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Pembatalan tempahan bilik antara kesan yang terpaksa dihadapi pengusaha resort dan chalet di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.
Pembatalan tempahan bilik antara kesan yang terpaksa dihadapi pengusaha resort dan chalet di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

"Kami merayu supaya situasi ini tidak dibiarkan berlarutan dan Taman Negara kembali dibuka... jika dibuka sudah pasti segala prosedur standard operasi (SOP) dipatuhi," ujarnya lagi.

Tambahnya, situasi kian mendesak selepas ini kerana ia adalah tempoh buat mereka mencari rezeki memandangkan bulan November dan Disember berdepan musim tengkujuh.

Sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengumumkan Taman Negara Kuala Tahan antara fasiliti awam di bawah jabatan itu ditutup sementara waktu hingga satu tempoh diberitahu kelak sebagai langkah mencegah penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin mengharapkan Taman Negara yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa dibuka kembali.

Mohd Zakhwan (kanan) menerima petisyen memorandum yang disampaikan wakil Kelab Pencinta Burung Taman Negara, Roslan Abu Kassim semalam.
Mohd Zakhwan (kanan) menerima petisyen memorandum yang disampaikan wakil Kelab Pencinta Burung Taman Negara, Roslan Abu Kassim semalam.

Menurutnya, beliau juga tidak bersetuju dan menyifatkan penutupan Taman Negara oleh pihak berwajib secara tergesa-gesa dengan notis yang singkat.

"Tindakan sebegini menyebabkan penggiat pelancongan terdiri pengusaha chalet, resort, juru pandu, pemandu bot dan peniaga sekitar hilang punca pendapatan.

"Memorandum ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib namun sehingga kini tiada maklum balas diberikan mengenai bila ia dibuka semula.

"Jadi kita memohon supaya pihak berwajib dapat membuka semula Taman Negara dan segala SOP sentiasa dititikberatkan," katanya lagi

Beliau berkata sedemikian selepas menerima memorandum yang disampaikan oleh kumpulan terbabit semalam.

Tambahnya,selaku ADUN di kawasan itu, beliau telah memanjangkan isu tersebut kepada pihak Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk perhatian selanjutnya.

"Beliau (MB) berjanji akan membantu pihak yang terjejas semampunya," ujarnya.