X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO Perak persoal lantikan setiausaha politik MB Perak

Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid
A
A

IPOH - Pemuda UMNO Perak menuntut penjelasan daripada kepimpinan parti negeri berhubung lantikan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, pelantikan itu dilihat janggal dan melangkaui kebiasaan kerana melibatkan dua parti iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbeza dari segi ideologi dan struktur dalamannya.

"Seperti semua pihak sedia maklum, tugas seorang setiausaha politik berperanan untuk membantu tugas-tugas politik dan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada situasi politik di kawasan Parlimen, negeri atau di Malaysia.

"Sudah tentu ia bakal menimbulkan konflik dalam melaksanakan tugas sama ada menjaga kerahsiaan parti UMNO atau menjaga hal ehwal serta survival politik seorang Menteri Besar daripada Bersatu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pelantikan Aznel yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik dibuat bagi menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang kini diberikan amanah mengurus hal ehwal berkaitan tanggungjawab Ahmad Faizal selaku Timbalan Presiden Bersatu dan lain-lain urusan di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Ariff berkata, melihat kepada suasana politik negara ketika ini, pelantikan itu seolah-seolah mempunyai agenda tertentu bagi memecahbelahkan keharmonian UMNO umpama telunjuk lurus kelingking berkait.

"Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan untuk mengkaji semula kerjasama di dalam Perikatan Nasional, maka sudah tentu pelantikan ini dilihat bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti," katanya.

Menurutnya, adalah perlu bagi Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menjelaskan kekeliruan itu agar tidak menimbulkan kegusaran di peringkat akar umbi.

"Jika pelantikan ini dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri, maka jelaslah bahawa Bersatu gagal menghormati institusi UMNO yang telah berkorban memberikan laluan untuk pemimpinnya diangkat sebagai Menteri Besar Perak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!