JTM cadang sekretariat tetap simpanan tanah Melayu setiap negeri

Mohd Azmi (duduk, tiga dari kanan) selepas mempengerusikan Diskusi Isu Status Aset Tanah Melayu Negeri Perak dan melancarkan Kempen Selamatkan Tanah Melayu di Badan Khidmat Masyarakat At Taif Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar semalam.
Mohd Azmi (duduk, tiga dari kanan) selepas mempengerusikan Diskusi Isu Status Aset Tanah Melayu Negeri Perak dan melancarkan Kempen Selamatkan Tanah Melayu di Badan Khidmat Masyarakat At Taif Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar semalam.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM) menyarankan supaya diwujudkan sekretariat tetap simpanan tanah Melayu di setiap negeri bagi tujuan memantau pembangunan dan transaksi melibatkan Tanah Rizab Melayu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penubuhan sekretariat di setiap negeri itu perlu selepas pihaknya mendapati isu berkaitan tanah pegangan Melayu sehingga kini masih belum selesai dengan baik.

Menurutnya, selain tanah pegangan Melayu terus berkurangan, tanah sedia ada juga tidak dapat dibangunkan sebaiknya.

"Jadi usaha perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini antaranya mewujudkan sekretariat tetap simpanan tanah Melayu yang melibatkan pakar perundangan dan perlembagaan serta pegawai kanan kerajaan.

"Penglibatan pihak luar kerajaan negeri yang mempunyai kepakaran mengenai tanah juga diperlukan supaya keputusan mengenai tanah diambil secara berintegriti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Diskusi Isu Status Aset Tanah Melayu Negeri Perak dan melancarkan Kempen Selamatkan Tanah Melayu di Badan Khidmat Masyarakat At Taif Kota Lama Kiri di sini semalam.

Katanya, Tanah Rizab Melayu berpotensi untuk dimajukan bagi pembangunan berimpak tinggi, malah nilai tanah itu boleh meningkat setanding pembangunan di kawasan tanah terbuka.

"Perbezaan margin Tanah Rizab Melayu dan tanah terbuka dianggarkan sehingga 40 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tanah bukan berstatus Melayu bernilai RM100,000, nilai Tanah Rizab Melayu pula hanyalah antara RM60,000 hingga RM70,000," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azmi berkata, isu kuasa beli orang Melayu yang terhad selain pemilikannya bertindih menyebabkan banyak pemaju termasuk kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) enggan mengambil risiko membangunkan Tanah Rizab Melayu.

"Dikatakan pemaju takut menanggung risiko, pihak bank turut bimbang mengalami kerugian kerana kuasa beli orang Melayu yang dikatakan rendah.

"Akibatnya Tanah Rizab Melayu kekal sebagai tanah kelas kedua atau kelas ketiga," katanya.