X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada sebab Muhyiddin perlu mengalah

Mohd Redzuan
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Tiada sebab Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengalah demi menyelamatkan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Presiden Bersatu itu yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti lalu sudah cukup memberikan signal jelas kepada pihak lain bahawa tidak wajar untuk individu menjalankan tugas dengan baik perlu mengalah sedangkan ia mendapat sokongan padu dalam kalangan parti dan rakan politik lain.

Menurutnya, ia termasuk pelbagai skim diwujudkan bagi membantu rakyat dalam tempoh negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) selain mengadakan rundingan dengan beberapa negara untuk memastikan vaksin sampai ke negara secepat mungkin malah Malaysia antara negara terbaik dalam mengekang wabak itu daripada terus menular.

"Kenapa Perdana Menteri perlu mengalah, beliau mendapat sokongan dan telah menjalankan tugas dengan baik seperti yang nampak hari ini, tidak ada sebab beliau nak mengalah. Beliau patut meningkatkan kepemimpinannya untuk pastikan kerajaan stabil dan beri perhatian pada rakyat untuk memacu ekonomi lebih baik.

"Rakyat pun sayangkan beliau dan sekiranya diadakan pemilihan semula saya yakin rakyat akan tetap sokong beliau," katanya selepas Majlis Makan Malam Ahli Parlimen Alor Gajah bersama Media Melaka di Hotel Ames di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, tiada sebab juga untuk merombak barisan menteri Kabinet memandangkan kerajaan hari ini berfungsi dengan baik.

"Saya baru lepas mesyuarat dengan Perdana Menteri petang tadi (semalam) dan tiada langsung dibincangkan mengenai rombakan Kabinet, buat masa ini semuanya berfungsi dengan baik.

"Sekiranya tiba suatu ketika yang menampakkan Kabinet tidak berfungsi dengan baik, ketika itu barulah keputusan perlu dibuat, masa ini semua berfungsi baik dalam keadaan yang serba mencabar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin perlu mengalah untuk selamatkan kerajaan PN


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!