X

Kindly register in order to view this article
!

Saran gabungan berteraskan ketuanan Malaysia

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mencorakkan bentuk sokongan baharu dalam percaturan politik negara dengan ahli-ahli Parlimen yang boleh menerima konsep ketuanan Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mencorakkan bentuk sokongan baharu dalam percaturan politik negara dengan ahli-ahli Parlimen yang boleh menerima konsep ketuanan Malaysia.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, inovasi kepimpinan beliau boleh mengambil kira gabungan yang dikemas kini melalui pembentukan dan penambahbaikan daripada gabungan sedia dengan aplikasi berasaskan merit ketuanan Malaysia.

“Melalui konsep merit berasaskan ketuanan Malaysia itu, beliau boleh mewujudkan gabungan politik bersama beliau dengan ahli Parlimen yang terbaik dan berkualiti.

“Dengan syarat, kesemua ahli Parlimen daripada pelbagai parti tersebut harus menandatangani persetujuan dan akur sepenuhnya dengan konsep ketuanan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Noor Nirwandy yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM berkata, ahli Parlimen terbabit juga perlu memperakui dan tidak akan sesekali mencabar pemahaman ketuanan Melayu yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemahaman konsep ketuanan Melayu adalah asas pengolahan ketuanan Malaysia,” jelas beliau.

Melalui deklarasi tersebut, Muhyiddin dapat membentuk gabungan kepimpinan berbilang parti berasaskan penterjemahan sebenar ketuanan Malaysia.Politik negara kembali bergolak selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya bagi membentuk kerajaan baharu.

Selepas itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, namun tidak diketahui tujuan pertemuan tersebut.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, Ahli Parlimen Gua Musang tersebut telah mendedahkan sepucuk surat kepada media mengenai desakan supaya usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dilakukan di Dewan Rakyat.

Kini tercetus pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas UMNO memaklumkan akan berbincang dan meletakkan syarat kepada PN dalam menerajui kerajaan Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!