ECRL: Terengganu cadang tubuh jawatankuasa khas

Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri
A
A
A

KEMAMAM- Kerajaan Terengganu mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas yang turut dianggotai wakil negeri ditubuhkan bagi mendapatkan keputusan terbaik berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu bagi membolehkan semua kaedah penyelesaian dapat dicapai, sekali gus mengelak pelbagai pertentangan maklumat di peringkat pusat.

Katanya perbincangan secara bersama dengan wakil Terengganu, Kelantan dan Pahang amat penting apatah lagi mereka adalah pemegang taruh yang berkepentingan.

"Kita faham akan kekangan yang dihadapi kerajaan persekutuan hari ini, tetapi perlu diteliti juga apa yang mahu dibuat dengan prasarana yang sedia ada termasuklah sebahagian rel yang telah siap dan ada tempat- tempat stesen yang sudah diratakan dan pusat pentadbiran.

"Ini hanyalah satu daripada banyak persoalan yang timbul yang belum terungkai dan saya fikir perlu ada jawatankuasa khas yang turut membabitkan negeri terlibat dibentuk," katanya selepas merasmikan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.

Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat terbuka kepada semua bentuk perbincangan dengan kerajaan persekutuan apatah lagi apabila ia membabitkan kepentingan negeri serta rakyat.

Justeru, beliau berharap satu keputusan baharu dapat diambil sementara satu jalan penyelesaian dapat dicapai dengan secepatnya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan berada dalam status ‘masih berunding.’

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan membina dua pusat pembelajaran Braille al-Quran di daerah Kemaman dan Besut tahun ini bagi memberi peluang serta kemudahan kepada golongan cacat penglihatan mengikuti pembelajaran al-Quran dengan lebih baik.

"Kita telah persetujui perkara ini dalam Bajet 2019 dan peruntukan sebanyak RM3 juta akan disalurkan untuk tujuan itu.

"Kita sudah dalam proses akhir persiapan. Jadi dengan adanya dua pusat itu nanti mereka tidak perlu lagi datang ke pusat pengajian Kuala Nerus sekali gus menjimatkan masa dan wang," katanya, yang turut menyasarkan pembinaan di setiap daerah pada masa akan datang.- Bernama