X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster baharu di Perak libatkan budak 2 tahun

Maklumat yang dikongsi Facebook Kementerian Kesihatan mengenai kluster baharu membabit kluster Lekir dan kluster Buntar hari ini
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan terdapat dua lagi kluster baharu di Perak iaitu Kluster Buntar di daerah Kerian dan Kluster Lekir di daerah Manjung.

Kedua-dua kluster tersebut masing-masing mencatatkan lima dan empat kes menjadikan sembilan kes baharu di Perak.

Menerusi perincian oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di Facebook rasmi hari ini, seorang kanak-kanak warganegara berusia dua tahun antara lima kes positif di dalam Kluster Buntar.

Kanak-kanak tersebut mula bergejala demam pada 14 Oktober lalu dan merupakan kontak rapat kepada ibunya yang positif Covid-19.

Saringan Covid-19 dibuat di klinik kesihatan sebelum dimasukkan ke hospital dan keputusan ujian pada 15 Oktober lalu mendapati kanak-kanak tersebut positif.

Sementara itu, bagi kes satu hingga empat untuk Kluster Buntar membabitkan seorang lelaki 24 tahun dan tiga orang wanita berumur antara 20 ke 24 tahun merupakan warganegara yang tinggal di daerah Kerian.

"Mereka ada sejarah pendedahan kepada rakan sekerja positif Covid-19 yang datang dari Sungai Petani, Kedah. Mereka mula bergejala demam, sakit tekak, sakit badan dan sakit kepala pada 12 dan 13 Oktober lalu.

"Mereka telah menjalani saringan Covid-19 di klinik kesihatan dan dimasukkan ke hospital. Keputusan ujian pengesahan kedua pada 15 Oktober lalu adalah positif. Semua kes ini adalah kes jangkitan tempatan," jelas JKN Perak menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, bagi kes enam hingga sembilan pula melibatkan Kluster Lekir di daerah Manjung.

Kes tersebut merupakan tiga orang wanita berumur antara 16 hingga 23 tahun dan seorang pelajar perempuan berusia 10 tahun yang mana kesemua mereka adalah warganegara.

"Mereka ada sejarah pendedahan kepada rakan kes positif Covid-19. Mereka ada bergejala iaitu demam dan menjalani saringan kontak rapat kes Covid-19 pada 14 Oktober lalu.

"Keputusan ujian pengesahan kedua pada 15 Oktober lalu didapati positif dan kes-kes ini adalah kes jangkitan tempatan. Kesemua kes telah diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala pengesanan kontak sedang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan Kluster Buntar itu melibatkan kawasan Kuala Muda di Kedah, daerah Kerian di Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kes indeks bagi kluster tersebut telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19 melibatkan kluster tersebut.

Menurut kementerian, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 51 individu telah disaring iaitu lapan kes dikesan positif Covid-19, sementara 43 individu lagi masih menunggu keputusan.

Bagi kluster Lekir pula, katanya, kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif Covid-19 bagi kluster berkenaan dan sehingga 16 Oktober jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 144 individu telah disaring.

Hasil saringan tersebut mendapati enam kes dikesan positif Covid-19, dua individu negatif dan 136 individu masih menunggu keputusan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kes semasa Covid-19 bagi Perak sebanyak 109 kes, manakala kes terkumpul pula berjumlah 383 dengan Mukim Taiping kekal sebagai zon merah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!