X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Enam kematian, 629 kes baharu

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menerima enam laporan kes kematian berkaitan Covid-19 yang melibatkan di beberapa hospital di Sabah dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 176 kes.

"Ia bersamaan 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Berdasarkan ringkasan, katanya, kes kematian ke-171 hingga 176 melibatkan seorang wanita dan lima lelaki yang berumur antara 36 hingga 74 tahun.

"Kesemua mereka mempunyai latar belakang penyakit lain seperti kencing manis, buah pinggang, jantung dan strok," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 629 kes baharu positif Covid-19 hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 18,758 kes dengan jumlah kes kebolehjangkitan 6,323," katanya.

Menurutnya, sebanyak dua kes import baharu dikesan mendapat jangkitan daripada luar negara.

"Masing-masing warganegara yang pulang dari Singapura dan New Zealand," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, sebanyak 16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Sejak 20 September lalu, kes melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dan disahkan positif adalah sebanyak 437 kes," katanya.

Memperincikan 627 kes penularan dalam negara, beliau berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 489 kes.

"Ia berikutan lebih banyak keputusan makmal telah diperolehi," katanya.

Menurutnya, makmal di Sabah semalam telah menjalankan 3,296 ujian dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu menghantar 5,340 sampel ke Semenanjung Malaysia untuk diproses segera.

Selain itu, beliau berkata, kawasan Lembah Klang pula merangkumi 9.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Selangor mencatat 50 kes, Kuala Lumpur lapan kes dan Putrajaya dua kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 38 kes pada hari ini terdiri daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

"Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara," katanya.

Beliau berkata, Perak merekodkan sembilan kes, selain Kedah (tujuh), Johor (lima), Labuan (19) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pahang.

Menurutnya, terdapat 99 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 31 kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala sebanyak 245 kes telah pulih dan discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 12,259 kes iaitu 65.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia

Posted by Sinar Harian on Friday, October 16, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!