MAFI perkenal harga siling benih padi

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan harga siling benih padi dan melaksanakan pembelian menerusi sistem kupon.

MAFI dalam kenyataan semalam berkata, langkah itu diambil selepas kata sepakat dicapai antara kementerian dan wakil petani dalam sesi dialog yang diadakan bagi mengatasi permasalahan benih padi yang sering dihadapi pesawah.

Menurutnya, MAFI akan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi sah terus kepada pesawah.

“Pengedaran dan pembekalan benih padi sah ini akan dikawal menerusi sistem yang akan dibangunkan oleh Nafas secara dalam talian.

“Jadi, pemantauan dan kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” menurut kenyataan tersebut.

MAFI berkata, ia juga akan membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam penghasilan benih padi sah termasuk pihak Pertubuhan Peladang Kawasan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

Namun, menurut MAFI, pihak yang akan dilantik kelak tetap dipantau dan dinilai secara teknikal dan kewangan menerusi jawatankuasa yang akan dilantik.

“Sebelum ini pesanan benih padi sah dibuat dalam tempoh lima hingga enam bulan sebelum musim penanaman bermula kepada kesemua pengeluar benih padi sah yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, ada sebahagian pengeluar tidak dapat membekalkan sepenuhnya sebagaimana yang dipesan berdasarkan kepada kapasiti pengeluaran semasa, perubahan pesanan pada saat-saat akhir dan sebagainya,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, MAFI berkata, walaupun kerajaan telah menetapkan harga RM28 bagi setiap beg benih padi sah seberat 20 kilogram untuk dijual di pintu kilang pengeluar benih padi sah, terdapat eksploitasi harga oleh ejen atau orang tengah.

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan mengenai kewujudan orang perseorangan yang memanipulasi harga benih padi termasuk menyorokkan stok setiap kali musim penanaman padi.

Individu terbabit dilaporkan bertindak memanipulasi harga dan mengedarkan benih kampit putih yang jauh lebih rendah kualitinya. - Bernama