Belia Sabah diseru perkukuh hubungan dengan Putrajaya

Affan Jumahat (gambar kecil) berharap tema 'Jambatan Sabah & Putrajaya: Pupuk Kesedaran Belia & Mahasiswa' membawa mesej jelas mengenai keperluan mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan pembangunan belia.
Affan Jumahat (gambar kecil) berharap tema 'Jambatan Sabah & Putrajaya: Pupuk Kesedaran Belia & Mahasiswa' membawa mesej jelas mengenai keperluan mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan pembangunan belia.
A
A
A

KOTA KINABALU – Golongan belia dan mahasiswa di Sabah diseru memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuh hubungan strategik antara Sabah dan Putrajaya bagi memastikan agenda pembangunan belia dapat dilaksanakan secara lebih dinamik serta inklusif.

Aktivis pemuda dan tokoh belia Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, usaha tersebut penting dalam memastikan suara generasi muda tidak dipinggirkan, sebaliknya menjadi antara asas utama dalam pembentukan dasar serta polisi kerajaan.

Menurut beliau, tema 'Jambatan Sabah & Putrajaya: Pupuk Kesedaran Belia & Mahasiswa' membawa mesej jelas mengenai keperluan mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi kepentingan pembangunan belia.

"Jambatan ini bukan sekadar istilah ataupun retorik politik semata-mata, ia adalah platform komunikasi dan pemahaman yang perlu diisi dengan kesedaran politik matang.

"Belia dan mahasiswa hari ini perlu peka dan cakna dengan dasar-dasar kerajaan agar mereka boleh memanfaatkan saluran sedia ada untuk pembangunan diri dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Affan yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Sabah serta pernah bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu berkata, mahasiswa perlu tampil sebagai ejen semak dan imbang yang konstruktif.

Beliau yang dikenali dengan pendekatan politik berteraskan integriti dan kebajikan rakyat berkata, usaha memperkasakan belia di Sabah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan sosioekonomi golongan muda.

"Saya percaya, jika jambatan komunikasi antara belia Sabah dan kepimpinan di Putrajaya ini diperkukuh, kita akan melahirkan generasi pemimpin yang lebih berwibawa, berani menyuarakan pandangan, serta mampu memartabatkan hak negeri dalam bingkai negara yang progresif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Affan menyambut baik pelbagai inisiatif kerajaan yang disifatkan telah membantu ramai anak muda di Sabah, termasuk program sokongan keusahawanan yang berjaya melahirkan ramai ikon belia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berpandangan tahap kesedaran mahasiswa terhadap peluang yang disediakan kerajaan masih perlu dipertingkatkan menerusi usaha advokasi yang lebih berkesan di semua peringkat akar umbi.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tiada golongan belia yang tercicir daripada arus perdana pembangunan.

Beliau berharap tema 'Jambatan Sabah & Putrajaya: Pupuk Kesedaran Belia & Mahasiswa' mampu menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program dialog dan kesedaran yang melibatkan penyertaan belia secara langsung.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan aspirasi 'Sabah Maju Jaya' dapat diintegrasikan dengan lebih berkesan dalam agenda pembangunan negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!