Mahkamah Rayuan putuskan Ismahalil dihukum penjara 30 tahun mulai hari ini

Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah
Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kebebasan yang dinikmati bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tiga tahun lalu, berakhir dengan Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kerana mengedar dadah.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan sebulat suara itu bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.

Mahkamah memerintahkan Ismahalil yang lebih dikenali sebagai ‘DJ Rock’ menjalani hukuman serta-merta bermula dari tarikh keputusan itu.

Semasa membaca keputusan penghakiman Radzi berkata, mahkamah berpuas hati terdapat kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Tinggi ketika menilai keterangan pembelaan sehingga memutuskan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, panel berkenaan mendapati Ismahalil, 53, gagal menimbulkan keraguan munasabah serta gagal mematahkan anggapan bahawa dadah itu berada dalam pemilikan dan kawalannya bagi tujuan pengedaran.

"Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah maka, rayuan pihak pendakwaan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan serta membebaskan Ismahalil selaku responden diketepikan," katanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam, Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili pengasas stesen radio internet Bapakku.FM memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan.

“Anak guam merupakan penanggung utama keluarga selain berdepan komitmen kewangan yang tinggi.

“Saya mohon dia dikenakan hukuman ringan kerana faktor usia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, usia Ismahalil telah melebihi setengah abad maka hukuman sebatan tidak lagi terpakai.

Susulan itu, beliau memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 17 Julai 2023, Ismahalil terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pihak pembelaan bagi pihak Ismahalil telah menunjukkan bahawa bilik yang menempatkan dadah itu, boleh diakses pihak lain.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pada 21 Februari 2022, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Februari 2023, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!