‘Doakan, ini bahagian ayah' - Titipan terakhir Ismahalil sebelum ke penjara

PUTRAJAYA - Pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang dianggap sebagai ketentuan ALLAH SWT selepas Mahkamah Rayuan, di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atasnya kerana mengedar dadah.
Ismahalil, 53, berkata demikian menerusi rakaman video berdurasi seminit lima belas saat yang dikongsikan isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf kepada rakan-rakan ahli kumpulan WhatsApp Bapakku FM.
Sambil memeluk isteri dan ditemani anak mereka, Ismahalil kelihatan tenang ketika memberikan ucapannya.
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah... Alhamdulillah ALLAH SWT bagi keputusan macam ini. Insya-ALLAH, terima kasih semua.
"Kepada anak-anak ayah, doakan ayah ini mungkin bahagian ayah. Kepada peguam dan semua sekali.
"Demi ALLAH saya tak ada nak menyalahkan sesiapa. Semua ketentuan ALLAH SWT, terima kasih semua yang mendoakan. Kita dah berusaha dan mendoakan, insya-ALLAH," katanya.
Sinar Harian melaporkan, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan sebulat suara itu bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.
Mahkamah memerintahkan Ismahalil yang lebih dikenali sebagai ‘DJ Rock’ menjalani hukuman serta-merta bermula dari tarikh keputusan itu.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Radzi berkata, mahkamah berpuas hati terdapat kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika menilai keterangan pembelaan sehingga memutuskan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurutnya, panel mendapati Ismahalil gagal menimbulkan keraguan munasabah serta gagal mematahkan anggapan bahawa dadah itu berada dalam pemilikan dan kawalannya bagi tujuan pengedaran.
Kata beliau, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, rayuan pihak pendakwaan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan serta membebaskan Ismahalil selaku responden diketepikan.
Sementara itu, Ismahalil memaklumkan video tersebut adalah rakaman terakhirnya sebelum dia menjalani hukuman di penjara.
Dia dalam sama sempat menitipkan pesanan kepada anak-anak supaya menjaga ibu dengan baik sepanjang ketiadaannya di sisi.
"Hakim, jaga ibu baik-baik. Ibu, setia dengan ayah insya-ALLAH," ujarnya lagi.
Ucapan yang menyentuh perasaan itu membuatkan wajah Nor Haslinda terlihat sayu dan sebak ketika berdiri di sampingnya.
Ismahalil yang mengendalikan radio internet Bapakku FM bersama Warung Bapakku FM di Gombak turut menyarankan agar operasi perniagaan itu tetap diteruskan oleh rakan-rakannya.
"Kalau boleh kita teruskan (operasi) warung, teruskanlah. Kalau tak mampu, kita tutup sahaja.
"Kepada sahabat-sahabat... ini video yang terakhir, insya-ALLAH saya reda," ujar Ismahalil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
