X

Kindly register in order to view this article
!

Balu anggota TLDM sukar maafkan pemandu Myvi

Gambar kenangan Nurul Asyiken bersama anak dan suaminya yang tular di media sosial.
A
A

JOHOR BAHRU - Balu Allahyarham Laskar Kanan Mohd Rizal Suberi tidak mampu memberikan sebarang jawapan ketika diajukan soalan berhubung hukuman penjara enam tahun ke atas wanita yang merempuh suaminya dalam nahas jalan raya pada Sabtu lalu.

Nurul Asyiken Amir berkata, dia dan tiga orang anaknya masih dalam keadaan terkejut dan sedih.

"Saya tidak dapat berikan jawapan sama ada kami memaafkan pemandu itu atau tidak. Bila saya terpandang wajah anak-anak, memang sukar untuk terima kenyataan suami telah pergi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Myvi dipenjara 6 tahun, denda RM8,000

Pemandu wanita positif dadah, reka cerita kemalangan maut

Terdahulu, pemandu wanita terbabit, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini memohon maaf kepada keluarga mangsa dalam rayuannya.

Nur Fatin Nasrah yang memandu di bawah pengaruh dadah dipenjara enam tahun dan didenda RM8,000.

Majistret Suhaila Shafi'uddin turut memerintahkan tertuduh hilang hak kelayakan daripada memegang lesen memandu selama enam tahun dari tarikh sabitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut nahas tiga kereta

Sementara itu, Nurul Asyiken yang merupakan guru agama di Bandar Tenggara di sini berkata, kejadian tersebut turut memberi emosi kepada anaknya kerana suaminya baru sahaja menyambut hari jadi anak mereka sehari sebelum kejadian berlaku.

"Anak sulung berusia lima tahun sudah menonton video kereta bapanya dirempuh. Kemudian bertanya kepada saya 'Mama, mengapa perempuan buat macam itu dekat papa?

"Saya pun terkedu tidak boleh jawab. Oleh sebab itu, bila wanita itu didakwa minta maaf kepada kami, adalah sukar untuk terima permohonannya," katanya.

Nurul Asyiken berkata, dia berharap agar wanita berkenaan menyesali perbuatannya dan kejadian yang berlaku itu membawa dapat memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil dadah dan berhati-hati memandu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!