Orang 'bisnes' perkukuh kewangan Kelantan FC

Jamilulail Jamiludin
Jamilulail Jamiludin
A
A
A

PENYERTAAN individu yang 'masak' dengan dunia perniagaan dalam struktur pentadbiran Kelantan FC mampu mengukuhkan lagi kedudukan kewangan pasukan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan.

Pengurus Operasi Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW Sdn Bhd), Jamilulail Jamiludin mendedahkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger sudah mengenalpasti individu yang akan dibawa masuk dalam memperkasakan lagi pasukan.

“Langkah itu selari dengan konsep penswastaan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, selain itu pendekatan tersebut merupakan penambahbaikkan yang cuba diketengahkan oleh Zamburger.

Katanya, beliau optimis 'pasukan' itu mampu membentuk gandingan mantap dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan TRW Sdn Bhd selepas ini.

“Jadi saya berharap penyokong dapat berdiri teguh di belakang pasukan supaya misi kebangkitan Kelantan FC mampu direalisasikan pada masa hadapan.

"Kita mahu Kelantan FC kembali menjadi salah satu pasukan gergasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Dalam pada itu, Jamilulail mengakui ketika ini masih ramai penyokong yang keliru dengan isu penswastaan Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada penyokong yang beranggapan Kelantan FC masih mempunyai hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Kelantan FC dan KAFA sudah terpisah sebenarnya apabila berlakunya penswastaan pasukan.

"Kedua-dua badan ini (Kelantan FC dan KAFA) masing-masing sudah menjadi entiti yang berbeza," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamilulail turut mengesahkan Kelantan FC sedang mengenalpasti beberapa lokasi terbaik untuk dibangunkan sebagai pusat latihan pasukan itu.

Katanya, pusat latihan merupakan agenda utama yang sering dititik beratkan oleh Zamburger sebagai pemilik Kelantan FC.

"TRW Sdn Bhd amat berharap perkara ini dapat direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan perjalanan Kelantan FC lebih baik selepas ini," katanya.