Muktamadkan status ECRL: Azan

Azan (tengah) pada sidang media di ibu pejabat PKR Terengganu, hari ini.
Azan (tengah) pada sidang media di ibu pejabat PKR Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa memberi kata putus berhubung status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membela nasib kira-kira 7,000 pekerja yang terikat dengan kontrak dan tidak mempunyai pendapatan di negeri ini.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung tekanan yang diterima pekerja selepas projek itu tergantung sejak Julai 2018.

“Projek ini dikatakan telah siap 50 peratus, namun setelah ia ditangguh tahun lalu, kebanyakan pekerja yang telah terikat dengan kontrak ini tidak mempunyai pendapatan kerana mereka tidak mendapat bayaran selagi ia (ECRL) tidak selesai.

“Mereka kini umpama digantung tidak bertali, nak cari kerja lain pun tak boleh selagi terikat dengan kontrak.

“Jadi kita gesa kerajaan untuk segera beri kata putus berhubung status projek ini yang dianggarkan secara keseluruhannya melibatkan seramai 30,000 pekerja,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Azan berkata, penangguhan projek itu tidak memberi impak ekonomi yang memberangsangkan malah tiada pelan alternatif lain bagi membayar balik kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya projek itu dibatalkan.

Lebih menyedihkan, katanya, penangguhan projek itu bukan hanya memberi tekanan kepada pekerja terbabit, ia turut memberi kesan kepada anggota keluarga.

“Hampir setahun mereka tidak pendapatan. Di Terengganu sahaja, anggota keluarga bagi 7,000 pekerja yang terjejas ekoran penangguhan projek ini melibatkan seramai 18,000 hingga 30,000 orang.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kita desak kerajaan supaya memberi kata putus bagi menamatkan kerisauan dan menentukan nasib mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Azan mendakwa, beberapa projek besar di Terengganu sering dilihat membelanjakan bajet yang berlebihan dan ia juga berlaku pada projek ECRL.

“Kita bimbang elemen yang sama (rasuah) juga telah berlaku dalam projek ini yang sepatutnya boleh dikurangkan kepada 50 peratus menjadi hanya RM40bilion yang dibelanjakan berbanding jumlah asal RM80 bilion.

“Sepatutnya, kerajaan mengumumkan lebih awal bahawa projek ini ada masalah disebabkan pengurusan yang salah atau sebagainya supaya pekerja tidak menanggung beban dalam tempoh yang lama,” katanya.