Pengerusi MPKK antara enam ditahan curi lembu

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) antara enam lelaki yang ditahan kerana disyaki mencuri lembu di Kampung Sungai Dua, Gemencheh di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata, kejadian jam 2.20 petang itu disedari pemiliknya berusia 70 tahun apabila terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pemilik lembu dan anak lelakinya melihat lembunya di kawasan belukar berhampiran sebuah kandang ayam, mereka telah terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda warna merah dalam keadaan mencurigakan.

"Kenderaan itu dinaiki empat lelaki termasuk ketua kampung berkenaan. Pemiliknya telah menghalang kenderaan itu untuk memeriksanya," katanya.

Bagaimanapun katanya, pemilik lembu itu terkejut apabila melihat seekor lembu jantan dengan keadaan terikat dan ditutup dengan kanvas berada di belakang kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, telah berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak melepaskan lembu tersebut.

"Pemiliknya kemudian telah membuat laporan polis dan enam lelaki termasuk seorang ketua kampung ditahan yang masing-masing berusia antara 35 hingga 50 tahun.

"Siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek kini direman tiga hari dari 13 Oktober sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.