X

Kindly register in order to view this article
!

Kes demam denggi meningkat di Johor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Zulkefly Ahmad (kiri) terlibat dalam Program Gotong-Royong Perdana di Flat Kenari, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, Johor.
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah 9,722 kes demam denggi dicatatkan di negeri ini bermula Januari lalu sehingga kini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan 9.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan jumlah 8,903 kes.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan dari minggu pertama hingga minggu epid ke-41 iaitu minggu ini, 5,151 kes atau 53 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 4,571 kes (47 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

"Pada minggu epid ke-41 juga 237 kes demam denggi dilaporkan. Bilangan ini menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu minggu epid ke-40 dengan 238 kes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru sebanyak 80.8 peratus diikuti Kulai (8 peratus); Kota Tinggi (2.8 peratus); Muar (2.5 peratus); Segamat (2.1 peratus) dan Batu Pahat (1.7 peratus).

Menurutnya, ini diikuti Tangkak (1.3 peratus); Pontian (0.8 peratus) dan Kluang (0.4 peratus) manakala tiada kes dilaporkan di Mersing.

Daerah yang menunjukkan peningkatan kes jika dibandingkan dengan minggu ke-40 adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Muar dan Segamat.

Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga minggu ini katanya, adalah 1,448 berbanding 1,153 bagi tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu iaitu peningkatan sebanyak 25.6 peratus.

Namun beliau memberitahu, tiada kematian denggi dilaporkan pada minggu ini di seluruh negeri.

"Kumulatif kes kematian denggi sehingga minggu epid ke-41 adalah sebanyak 35 kes. Jumlah ini meningkat 52.2 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 23 kes," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat melakukan aktiviti mencari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja termasuk meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

"Masyarakat juga boleh menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk. Semua bekas yang digunakan untuk menakung air perlu dibuang atau perlulah ditutup rapat," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!