Pulih Cameron Highlands: Op Lestari di Lembah Bertam diteruskan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Beberapa siri kejadian pekerja asing maut akibat ditimbus tanah runtuh di Cameron Highlands sejak beberapa tahun lalu seharusnya sudah cukup untuk memberi amaran tentang musibah yang boleh berlaku daripada sikap rakus dan tidak bertanggungjawab manusia meneroka tanah secara berleluasa.

Antara insiden yang dilaporkan ialah kehilangan tiga nyawa pekerja Myanmar di Kampung 3 Terla pada 14 Oktober 2018. Pada 25 Januari 2017, seorang pekebun bunga Bangladesh di Kuala Terla maut akibat tanah runtuh yang berlaku hanya beberapa jam selepas hujan lebat.

Beberapa faktor persamaan kedua-dua kes itu ialah kejadian berlaku di awal pagi. Semua mangsa sedang tidur nyenyak dalam pondok yang didirikan di kawasan cerun tanpa menyedari risiko tanah runtuh boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran awal.

Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, kerajaan negeri Pahang bertindak menghentikan aktiviti pertanian haram menerusi pelaksanaan Op Lestari di kawasan sensitif sekitar Lembah Bertam di sini,

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang menyatakan tindakan tersebut juga meliputi cerun kelas III iaitu mempunyai lebih daripada 25 darjah kecerunan dan kelas IV iaitu melebihi 35 darjah kecerunan.

Selain itu, pengalaman berdepan insiden pencemaran Sungai Ichat di Cameron Highlands pada 2019 turut membuatkan kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan lebih tegas bagi melindungi alam sekitar tanah tinggi tersebut khususnya Sungai Bertam adalah salah satu sumber air utama negeri ini.

Perlu pelihara

"Sungai Bertam lebih kritikal untuk dipelihara kerana ia bukan hanya menjadi sumber air kepada penduduk di Cameron Higlands, namun ia adalah sungai paling hulu dan mengalir ke Sungai Jelai serta Sungai Pahang yang merupakan sumber bekalan air mentah utama kepada penduduk negeri ini.

"Selain membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Habu di Cameron Higlands, Sungai Bertam merupakan sumber air utama kepada 17 buah LRA di sepanjang Sungai Pahang bermula dari LRA Terla sehingga ke daerah Pekan yang melibatkan 122,049 pemilik akaun iaitu bersamaan hampir 0.6 juta penduduk Pahang. Jika ia tercemar, kesannya dirasai lebih ramai penduduk yang memperoleh bekalan air daripada dua sungai terlibat," kata Sallehuddin kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada Data Pengawasan Sungai Lembah Bertam yang menunjukkan pada Julai lalu, daripada 11 stesen, tiga daripadanya merekodkan bacaan kelas III iaitu memerlukan rawatan intensif manakala satu stesen memerlukan rawatan konvensional, boleh digunakan untuk rekreasi (empat stesen) dan dalam keadaan semulajadi (tiga stesen).

Menurut Sallehuddin, secara keseluruhan, Op Lestari Lembah Bertam yang melibatkan operasi membersihkan 35,000 hektar tanah yang diduduki secara haram sekitar Lembah Bertam meliputi 12 hektar rizab jalan dan 23 hektar rizab sungai. Ia bermula daripada Balai Bomba Lembah Bertam hingga ke Mansion Goat Cottage juga susulan kepada kejayaan penguatkuasaan di Sungai Ichat, juga di Cameron Highlands sebelum ini.

Beliau menambah, operasi penguatkuasaan itu walaupun dilihat sebagai 'langkah tidak popular' namun perlu dilaksanakan kerana masalah yang berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah secara haram yang bukan hanya mendatangkan kesan kepada alam sekitar, tetapi juga merugikan kerajaan.

Pelihara kepentingan

Sallehudin memberitahu Bernama, kerajaan negeri Pahang menanggung kos yang besar untuk merawat sumber air tercemar selain masalah kekeruhan selepas hujan lebat akibat aktiviti pertanian tidak terkawal boleh menyebabkan penduduk terputus bekalan air apabila LRA terpaksa ditutup apabila air mentah tidak boleh dirawat kerana kekeruhan melebihi 1,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit).

Pihak kerajaan negeri, kata beliau, memikul tanggungjawab memelihara kepentingan dan kebajikan penduduk yang lebih ramai, berbanding jumlah mereka yang memperoleh hasil daripada aktiviti pertanian yang dijalankan tanpa kawalan di situ.

"Pertanian haram yang berlaku bukan hanya melibatkan tanaman sayur-sayuran, namun juga kebun bunga yang mana kami berpandangan ia lebih berisiko (daripada sayur) kerana berkemungkinan melibatkan penggunaan racun dan baja dalam kuantiti banyak memandangkan hasilnya tidak dimakan.

"Selain itu, dibimbangi residu baja dan racun yang digunakan meresap ke tanah dan mengalir ke sumber air apabila hujan. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan zon pertanian di Cameron Highlands bagi memudahkan kita mengawal kesan yang mungkin timbul daripada jenis tanaman," katanya.

Pencerobohan di rizab jalan pula, menurut Sallehuddin, perlu dihentikan kerana ia berisiko merosak dan mengganggu kualiti jalan selain tujuan pewartaannya adalah untuk kegunaan kecemasan manakala penerokaan di kawasan cerun lebih berbahaya kerana boleh menyebabkan runtuhan jika dibiarkan berleluasa.

Kosongkan kawasan

Sehubungan itu, Sallehuddin berharap pekebun dan pemilik premis dalam kawasan operasi termasuk 100 petani yang sebelum ini diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dapat mengosongkan tanah berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengeluarkan 172 notis pendudukan tanpa izin kepada petani yang mengusahakan tanah rizab sungai dan rizab jalan pada 20 Jan lepas.

Ia diikuti notis ulangan terakhir pada 27 Ogos lalu dan Sallehuddin menjelaskan tiada LPS baharu akan diluluskan atau diperbaharui selepas tamat tempoh dengan petani terakhir yang tidak dibenarkan menyambung tempoh LPS ialah pada tahun 2019. Ini bermakna semua peneroka hendaklah mengosongkan kawasan tersebut.

"Keputusan tidak memperbaharui LPS juga adalah perbuatan tidak popular namun efektif. Semua kawasan LPS ini akan diserah kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands untuk mereka mengeluarkan kawasan sensitif seperti rizab sungai dan jalan sebelum kawasan yang benar-benar sesuai ditawarkan kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti pertanian.

"Penyelesaian ini lebih baik kerana petani boleh meneruskan aktiviti dengan kurang risiko selain memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan secara teratur dibuat kerana sebelum ini, ada pekebun mengusahakan tanaman di kawasan lebih luas daripada yang diperuntukkan dalam LPS mereka," katanya.

Sallehuddin juga menyifatkan pekebun terlibat telah 'menikmati' masa yang lebih panjang untuk mengosongkan tanah memandangkan Op Lestari itu yang dijadualkan bermula sekitar Mac lalu, ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik wabak koronavirus (Covid-19).

Pelihara rizab sungai

"Mereka sedia maklum operasi penguatkuasaan akan dilakukan. Kami memberikan masa secukupnya untuk pekebun terlibat menuai hasil buat kali terakhir dengan peringatan tidak membuat semaian baru di tapak sama supaya tidak berlaku kerugian di pihak mereka apabila operasi bermula.

"Kerajaan negeri sudah bertoleransi maka kami mengharapkan kerjasama pekebun sepanjang operasi. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu menggunakan kekerasan atau mengambil tindakan undang-undang dalam isu ini, namun mungkin berbuat demikian jika terpaksa," katanya.

Bagi memastikan rizab sungai terus terpelihara, Sallehuddin berkata kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan kawasan itu sebagai rizab hutan dan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk mengenalpasti spesies tumbuhan hutan yang boleh 'diusahakan' di kawasan berkenaan selain turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) bagi memperkasa perancangan memelihara rizab sungai.

"Kita juga akan menggunakan teknologi terkini termasuk dron dan satelit untuk memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands. Sebagai contoh, kerajaan negeri bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk mendapatkan laporan terkini dan sejak beberapa minggu lalu, Lembah Bertam sudah berada dalam radar mereka," katanya. - Bernama