Laluan Anwar berliku, Ku Li potensi PM interim

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk hadir menghadap Seri Paduka bagi mengemukakan bukti sokongan majoriti ahli Parlimen kepadanya di Istana Negara semalam.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk hadir menghadap Seri Paduka bagi mengemukakan bukti sokongan majoriti ahli Parlimen kepadanya di Istana Negara semalam.
A
A
A

SEAWAL jam 7 pagi semalam, ratusan pengamal media dari dalam dan luar negara mula mengerumuni pekarangan pintu Istana Negara, Kuala Lumpur bagi menantikan kemungkinan terjadinya peristiwa yang didakwa bakal mengubah landskap politik Malaysia.

Peristiwa besar penubuhan kerajaan baharu pimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah dicanang-canang sejak 23 September lalu.

Di sebalik perasaan skeptikal rakyat negara ini, ditambah Anwar pernah mengemukakan dakwaan sama bagi membentuk kerajaan baharu sebelum ini, tanpa sedar rakyat masih tertarik mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan Anwar itu.

Susulan itu, berbondong-bondong analisis dikemukakan banyak pihak bagi menjangkakan kemungkinan daripada mana sokongan ahli Parlimen bakal diperoleh Anwar selain 91 kerusi Pakatan Harapan (PH) yang sudah dimilikinya.

Ini termasuklah dakwaan lebih 20 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bersetuju menyokong beliau untuk membentuk kerajaan ‘bumiputera Islam’.

Polemik penentuan sokongan kepada Anwar semakin mendebarkan apabila Ahmad Zahid mengakui tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Ketua Pembangkang itu, walaupun kemudiannya dinafikan hampir keseluruhan 39 ahli Parlimen parti itu.

Setelah hasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 23 September lalu tertangguh susulan baginda gering, akhirnya Seri Paduka Baginda memperkenankan permohonan Anwar itu semalam.

Namun bagi Anwar, kemaraan beliau mencapai puncak kuasa dan kerusi empuk Perdana Menteri di Putrajaya boleh diibaratkan ‘panas tidak sampai ke petang, hujan turun di tengah hari’.

Artikel Berkaitan:

Kejutan bermula apabila Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dikhabarkan turut dipanggil menghadap Seri Paduka Baginda sejurus selepas pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Anwar.

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh

Verifikasi

Rakyat kemudiannya menjadi keliru apabila kenyataan sidang media Anwar pada jam 2 petang semalam dilihat sangat bercanggah dengan kenyataan susulan yang dikeluarkan Istana Negara selepas pertemuan itu.

Secara ringkas, Anwar dalam sidang medianya memperjelaskan sudah memiliki bukti sokongan lebih 120 ahli Parlimen dengan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong bagi membuat verifikasi kebenaran sokongan kepadanya.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan menegaskan Anwar hanya mengemukakan senarai angka sokongan ahli Parlimen kepadanya tanpa memperjelaskan nama individu-individu terlibat.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Rentetan plot drama politik terkini Anwar itu, ia mengundang persoalan utama adakah Anwar mengulangi skrip lama politik yang dilakukannya pada September 2008 atau benar-benar memiliki sokongan mencukupi kali ini?

Berdasarkan pentafsiran kenyataan Istana Negara semalam, boleh disimpulkan Agong secara tersirat cuba menasihati Anwar untuk membentangkan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Muhyiddin dalam sidang Parlimen pada 2 November depan.

Ini kerana Istana Negara menjelaskan keadaan yang memperlihatkan Anwar membentangkan bukti sokongan majoriti ahli Parlimen kepada beliau tanpa satu pengesahan konkrit.

“Sekiranya ada bukti surat akuan bersumpah (SD) sekalipun, Seri Paduka Baginda tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan Perdana Menteri sedia ada hilang sokongan ahli Parlimen, sebaliknya kaedah verifikasi sokongan perlu dibuat.

“Paling penting, Yang di-Pertuan Agong terbukti mengambil pendekatan bijaksana apabila memanggil Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua-ketua setiap parti bagi memastikan proses pengesahan bukti sokongan majoriti sedang berjalan,” kata pakar perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood kepada Sinar Harian.

Namun, bagi Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pula, tindakan Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong mungkin strategi politik tertentu.

Mengambil iktibar kegagalan ‘Langkah 16 September 2008’, Anwar mungkin merasakan sesuatu ‘luar biasa’ mungkin akan terjadi, termasuk peralihan mengejut sokongan ahli Parlimen daripadanya sekiranya senarai nama itu didedahkan.

“Itu bukan bermakna Anwar mencurigai Seri Paduka Baginda, tetapi beliau mahu memastikan langkah kali ini benar-benar menjadi dengan Agong sendiri akan meminta ketua-ketua parti untuk memberikan pengesahan sokongan mereka kepada siapa dalam sesi wawancara nanti,” katanya.

Dr Mohammad Redzuan
Dr Mohammad Redzuan

Selain isu kenyataan Anwar dan Istana Negara bercanggah, peranan sebenar Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li dalam polemik politik membabitkan Istana Negara turut menjadi tumpuan utama seluruh negara.

Mungkin ada kejutan lain

Dari satu sudut, keputusan Agong memanggil Ku Li untuk datang menghadap Seri Paduka mungkin sebahagian daripada usaha Seri Paduka mencapai keputusan bijaksana lantaran bekas Menteri Kewangan itu merupakan ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat.

Bagaimanapun, satu lagi teori politik menarik dikemukakan penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain.

Menurutnya, terdapat kemungkinan besar Seri Paduka Baginda bersiap-sedia melantik Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri interim bagi mengendurkan ketidaktentuan politik disebabkan kerajaan sedia ada tidak memiliki jumlah majoriti meyakinkan.

“Apabila Anwar mendakwa cukup numbers, dari segi abstrak senario itu menunjukkan seolah-olah Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen meskipun tiada bukti sahih dikemukakan setakat ini.

“Agong mungkin merasakan langkah penyelesaian alternatif itu perlu disediakan dengan Ku Li dilihat sebagai pilihan terbaik bagi dilantik sebagai Perdana Menteri interim untuk meneruskan pentadbiran negara sehingga pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan,” katanya.

Dr Ahmad Atory
Dr Ahmad Atory

Ahmad Atory berkata, pelantikan Perdana Menteri interim boleh dilakukan Yang di-Pertuan Agong selepas pembubaran Parlimen dibuat kerana ia di bawah bidang kuasa Seri Paduka Baginda.

“Justeru, langkah pelantikan Perdana Menteri interim selepas Parlimen dibubarkan dilihat bertepatan kerana tempoh perkhidmatan Perdana Menteri interim tiada had tertentu.

“Individu dilantik Perdana Menteri pula boleh memastikan sistem pentadbiran negara berjalan dengan baik sehingga satu tarikh pelaksanaan PRU baharu dimuktamadkan, berkemungkinan besar selepas ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) reda.

“Dengan pemilihan Ku Li yang dikenali sebagai pemimpin berkaliber, bersih, paling berpengalaman sebagai Perdana Menteri interim kelak, secara tidak langsung keputusan Agong itu dapat memuaskan hati semua,” katanya.

Di sebalik pelbagai kemungkinan lain berlaku dalam masa terdekat, masih ada lagikah sinar harapan kepada Anwar mencapai cita-cita politiknya bergelar Perdana Menteri?